Anwar di Arab Saudi – ada ahlan wa sahlan ke?

Mohsin Abdullah

Tak payah jadi pakar politik atau pun ahli nujum untuk tahu hal Anwar Ibrahim tidak bertemu Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohammed Salman semasa lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini akan dijadikan bahan kempen pembangkang apabila beberapa PRN diadakan tidak lama lagi. Malah Perikatan Nasional sudah pun memukul canang. Bertanya itu dan ini yang telah dan sedang mendapat liputan media.

Tentu anda mengikutinya. Mesej pembangkang ialah Anwar tidak dilayan mesra oleh Saudi, tidak seperti pengerusi mereka Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri dulu. Kata mereka Mohammed sendiri menyambut Muhyiddin di lapangan terbang. Anwar juga, kata mereka, tidak dijemput masuk Kaabah. Juga tidak seperti Muhyiddin semasa mengadakan lawatan ke Arab Saudi dulu. Kesimpulan pembangkang lawatan Anwar ke negara Arab itu gagal.

Seperti dikatakan tadi tak payah jadi ahli sains politik untuk menjangka semasa kempen PRN terutama di Selangor dan Negeri Sembilan, pengundi Melayu akan antara lain diberitahu bahawa Anwar yang dikatakan pemimpin dihormati di pentas antarabangsa terutama dunia Islam ‘tidak mendapat sambutan’ di negara Islam terunggul, Arab Saudi. Tidak perlu diragui taktik itu akan digunakan juga di negeri majoriti Melayu diperintah PAS – Kedah, Terengganu, dan Kelantan.

Laman berita yang dilihat pro-PN sudah menyiarkan laporan Anwar gagal bertemu Mohammed sebagai berita utamanya, memetik ‘bekas ahli diplomat Malaysia’ yang tidak disiar nama memberi interpretasi apa ertinya apabila putera mahkota Saudi tidak bertemu perdana menteri. Di media sosial, Facebook umpamanya, penyokong atau mungkin ahli PN sudah memuat naik laungan “Malu we Arab Saudi pun tak terima PMX”.

Raja Salman dan Mohammed tidak bertemu Anwar adalah fakta. Tetapi Anwar melawat Arab Saudi atas undangan rasmi kerajaan Saudi. Ertinya Raja Salman serta Mohammed. Ini juga fakta. Menurut laporan pertemuan tidak dapat diadakan kerana raja dan puteranya mengubah jadual mereka menjelang Ramadan. Maknanya pertemuan sememangnya dirancang terlebih dahulu. Jika tidak masakan Anwar dijemput datang.

Pada hemat saya perubahan jadual dua pemimpin tertinggi Saudi itu dibuat tentunya atas sesuatu yang sangat penting dan tidak dapat dielakkan. Betul ini sekadar jangkaan saya kerana saya tidak layak bercakap bagi pihak mereka dan tidak boleh meyelami minda raja Saudi dna puteranya.

Namun jika anda bukan peminat Anwar, anda boleh membuat sangkaan bahawa kedua-dua pemimpin Arab tidak akan mengubah jadual mereka jika benar-benar mahu bertemu Anwar. Bagaimanapun seperti dikatakan tadi kita tidak tahu dan tidak berhak tahu mengapa jadual mereka diubah.

Apa pun, menurut Anwar dan beberapa pegawainya, pemimpin Saudi memohon supaya kunjungan perdana menteri dilanjut yakni dipanjangkan selama dua hari untuk membolehkan pertemuan dengan pemimpin tertinggi dapat diadakan. Anwar bagaimanapun tidak dapat melanjutkan lawatan kerana pada 25 Mac beliau dan Jemaah Menteri dijadual hadir majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Semestinya kesetiaan seorang perdana menteri ialah terhadap rajanya, bukan raja lain. Seterusnya Anwar dijadual melakukan lawatan rasmi ke Kemboja dan China.

Pun begitu dalam soal begini orang akan percaya apa yang mereka mahu percaya. Yang sangsi akan tetap sangsi walau apa penjelasan yang diberi. Ini hakikat yang Anwar tahu dan mesti hadapi. Perlu diakui dengan tiada pertemuan dengan raja Salman dan Mohammed ‘mencacatkan’ lawatan Anwar, meskipun ada justifikasinya. Ini juga hakikat yang mesti diterima perdana menteri.

Orang yang bukan penggemar Anwar akan atau boleh terus menerus mengutarakan soal masuk Kaabah. Muhyiddin dibawa masuk, Anwar tidak. Mengapa? Waullahualam. Sesungguhnya masuk ke dalam Kaabah sesuatu yang istimewa. Pun begitu penting juga ditanya apa yang diperolehi Muhyiddin daripada keistimewaan dan layanan hebat yang diberi kepada beliau semasa melawat Arab Saudi pada 2021.

Dalam lain perkataan, setelah dua tahun berlalu apa hasil untuk Malaysia yang dibawa pulang?

Jadual Anwar di Arab Saudi termasuk mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam dan badan Liga Muslim serta komuniti perniagaan Arab Saudi. Beliau turut menyaksikan beberapa pemeteraian MoU membabitkan perniagaan dan industri. Apa pula hasil lawatannya?

Oleh kerana lawatannya baru beberapa hari berlalu, kita tidak ada pilihan selain tunggu dan lihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan