KIM SYAZIE
Sejak mengetuai Kementerian Ekonomi, Rafizi Ramli sering disindir dengan gelaran ‘Raja Formula’ termasuk ketika berbahas di Dewan Rakyat.
Berucap ketika menggulung Ucapan Dasar Presiden pada kongres dihadiri lebih 1,200 perwakilan PKR itu semalam, Rafizi berkata pembangkang sengaja mengungkit kisah lama sewaktu Pas dan PKR berada dalam satu gabungan parti politik.
Katanya memetik Berita Harian, segala formula yang pernah beliau perkenalkan sebelum ini semuanya untuk dilaksanakan semasa keadaan ekonomi negara tidak seteruk seperti sekarang.
“Dia (pembangkang) akan ungkit perkara lama. Contoh pada 2008 soal harga minyak, walaupun (sedar) sebenarnya keadaan cukup berbeza berbanding sekarang, dia (pembangkang) akan mainkan kempen.
“Soal pengurangan hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) ataupun mengurangkan harga kereta, bukan dia (pembangkang) tak tahu kerana Pas masa itu yang paling ghairah sekali jemput kami daripada Keadilan (PKR) untuk berkempen atas pentas Pas.
“Sebabnya orang Pas tak boleh nak terangkan benda macam ini,” katanya.
Rafizi menegaskan, formula untuk mengurangkan harga kenderaan sebagai contoh boleh dilaksanakan ketika formula terbabit dicadangkan memandangkan kedudukan hutang negara tidak sepertimana sekarang.
“Dia (pembangkang) tahu contohnya untuk turunkan harga kereta, dulu kita boleh buat kerana hutang kita tak banyak.
“Sebab untuk turunkan harga kereta, kita kena kurangkan dan lama-lama hapuskan cukai eksais yang kita kenakan kepada kereta itu.
“Masalahnya kita sekarang ada hutang RM1.5 trilion yang mereka tinggalkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan