Kamu yang memalukan agama

Abdullahjones

Antara kebanggaan tentang masjid kami ialah bilamana tiada sebarang bayaran dikenakan kepada sesiapa dalam hal pengurusan mana-mana jenazah.

Siapa yang meninggal dunia dalam kariah kami, maka pihak masjid dengan penuh tanggungjawab akan menguruskan jenazah berkenaan.

Bermula dari urusan memandikan, mengkafan dan selanjutnya mengebumikan, semuanya dilaksanakan tanpa upah. Masjid juga akan mengadakan majlis tahlil ringkas pada malam berikutnya dengan sedikit makanan disediakan untuk 100 orang jemaah.

Tanpa mengira sama ada mereka yang meninggal dunia itu adalah penduduk tetap di tempat kami atau sekadar datang berziarah (dan kemudian meninggal dunia), jika semua anggota keluarga mereka bersetuju, masjid kami akan menguruskan segalanya - dari A hingga Z.

Menurut kami, masjid itu adalah satu-satu masjid di negara kita yang berbuat demikian. Jika kami salah, tolong betulkan.

Kam juga merasakan bahawa semua surau dan masjid sepatutnya mengikut contoh teladan yang baik itu.

Mungkin ini adalah kebetulan namun daripada apa yang dilihat, kami dapati jemaah di tempat kami sedikit demi sedikit kian bertambah. Boleh jadi kaum kerabat yang jenazah mereka diuruskan oleh masjid melihat betapa urusan kematian disempurnakan dengan sebaik mungkin tanpa sebarang prejudis.

Lalu jika selama ini mereka belum datang meramaikan jemaah masjid, tentu hati mereka sedikit sebanyak akan terbuka kalau pun hanya kerana rasa terhutang budi kepada pihak pengurusan masjid.

Tidak timbul sama ada mereka yang meninggal dunia itu adalah seorang yang rajin ke masjid atau pun tidak, semuanya diberikan hak yang sama.

Darah panas mendidih

Tabung khairat kematian hasil sumbangan orang ramai di masjid kami juga tidak pernah berkurangan dengan segala kerja buat yang mereka lakukan secara percuma itu.

Dakwah yang terbaik adalah melalui cara bertemu muka dan menceritakan akan kebesaran tuhan, namun menguruskan jenazah dengan penuh tanggungjawab juga boleh dikira sebagai suatu jalan mengajak orang datang kepada agama.

Pepatah yang mengatakan 'diberi bunga lalu dibalas tahi' bukanlah satu kumpulan perkataan yang sesuai digunakan apabila kita membicarakan hal agama.

Nabi yang dibaling batu hingga berdarah tidak pernah menyimpan dendam, malah didoakannya seluruh kebaikan terhadap pelaku kerja khianat tersebut.

Hasilnya hari ini seluruh keturunan penduduk Taif adalah Islam.

Jika kamu pergi mengerjakan umrah singgahlah di sana untuk merasa dan menghirup udaranya yang nyaman.

Mungkin kamu marah kerana merasakan agama kamu dihina. Darah pahlawan kamu - yang agaknya merindui syahid itu - panas mendidih apabila ada orang cuba sedikit untuk membahaskan kebebasan dalam membicarakan hal-hal dalam beragama.

Namun, melempar asid dan membuat ugutan bunuh terhadap mereka yang kamu anggap menghina agama kamu bukanlah satu perbuatan yang menolong agama.

Islam tidak pernah maju dengan perbuatan cemar. Dan kamu sendiri telah memalukan serta meletakkan Islam dalam kancah yang tidak sepatutnya.

Semangat pendekar yang kamu warisi dari Tuah atau Jebat (kami lebih merasakan bahawa kamu cenderung kepada si Jebat kerana kononnya dia lebih rebel berbanding Tuah. Entah-entah keduanya adalah watak khayalan mereka yang seperti kamu yakni mereka yang gemar mencari hero di tempat yang salah) itu tidak memungkinkan kamu akan terus diusung ke sorga apabila mati menjemput datang.

Malah kamu mungkin lupa betapa di akhirat nanti ada si syahid yang ditempelak tuhan hanya kerana dia mahu disanjung disebabkan dia berasa dirinya adalah pembela agama.

Berhentilah menjadi pengadu domba.

Kami tidak perlukan hero seperti kamu, sama juga seperti Islam tidak memerlukan perarakan membawa senjata perang untuk kelihatan benar.

Agama kami ada penjaganya dan Dia langsung tidak memerlukan kamu walau sebesar habuk sekali pun!

Apa yang diperlukan adalah supaya kamu menjadi contoh teladan yang baik sebagai wakil kepada pengamal agama ini. Ugutan untuk membunuh sesiapa saja tidak pernah menjadi syarat yang wajib seorang model pengamal agama yang baik.

Jangat sibuk sangat mahu bersama rakyat mengunting rambut sehingga tidak menghormati mahkamah.

Eh! Silap. Ke situ pula kami ini. Maaflah kerana terbawa-bawa...

Dan kamu pula sampai merosakkan harta awam dalam 'peperangan' yang kamu cipta sendiri itu.  Nampak sangat kamu ini jenis yang belum khatam the art of war versi Islam sampai kami yang liberal ini pula yang terpaksa memberi nasihat kepada kamu.

Kami rasa daripada kamu sibuk memukul gendang perang adalah lebih baik kamu ke masjid menolong pak imam dan bilal mandikan jenazah.

Ada juga faedahnya daripada mabuk mahu mengamuk tidak tentu hala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan