FMT Reporters
Masjid Ibnu Sina di Taman Tasik Titiwangsa musnah 90% dalam kebakaran malam tadi. (Gambar FB)
PETALING JAYA: Kariah Masjid Ibnu Sina di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, tidak sempat menunaikan solat sunat tarawih pertama malam tadi selepas masjid berkenaan musnah dalam kebakaran.
Kejadian dipercayai berlaku pada 7 malam menyebabkan 90% ruangan dalam masjid itu musnah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.10 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
“Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, Jalan Tun Razak dan Hang Tuah dengan kekuatan 21 anggota, bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Kebakaran melibatkan ruangan solat di dalam masjid dengan anggaran kemusnahan sebanyak 90%,” katanya menurut Bernama.
Katanya, api dapat dikawal pada 7.27 malam dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 9.36 malam.
Tiada jemaah masjid berada di situ semasa kejadian, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan