Peguam Negara: Pendakwaan dibuat kerana ada keterangan, bukti kukuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan jabatan itu melakukan pendakwaan terpilih, bermotifkan politik dan penganiayaan terhadap mana-mana individu.

Peguam Negara Idrus Harun berkata setiap pendakwaan dibuat ke atas mana-mana individu selepas terdapat keterangan dan bukti-bukti kukuh wujudnya salah laku tanpa mengira latar belakang individu tersebut.

“Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh menunjukkan mana-mana individu melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang, individu tersebut akan didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, keputusan dibuat dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan yang sewajarnya.

“Setiap pertuduhan dilakukan di mahkamah bukan atas desakan mana-mana pihak,” tambahnya.

Sebelum ini beberapa pihak mempersoalkan siasatan dan pendakwaan terhadap beberapa individu berhubung program Jana Wibawa yang didakwa bersifat pendakwaan bermotifkan politik.

Beberapa pemimpin Perikatan Nasional menyifatkan dakwaan, penahanan dan pertuduhan terhadap pemimpin Bersatu adalah bukti berlakunya pendakwaan bermotifkan politik oleh kerajaan.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin yang juga bekas perdana menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan, membabitkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan