Suami tetak isteri bercakap telefon dengan lelaki lain

KOSMO!

BANGKOK – Seorang lelaki di wilayah Krabi, Thailand menetak isterinya menggunakan parang kerana berang  mangsa bercakap dengan lelaki lain menggunakan telefon bimbit tanpa memakai baju, lapor laman berita Thaiger kelmarin.

Polis menahan  Prachuap Nuanchan, 50, di sebuah kolam ternakan udang di daerah Ranot, wilayah Songkhla.

Suspek kemudian mengaku membunuh isterinya, Rattanakul, 58, di rumah mereka di daerah Khlong Thom.

Menurutnya, sejurus pulang ke rumah selepas bekerja, dia melihat isterinya sedang berbaring sambil bercakap dengan lelaki lain menggunakan telefon bimbit tanpa memakai baju.

Berang dengan situasi itu, suspek mengambil sebilah parang lalu menetak mangsa hingga mati.

Dia turut memberitahu polis bahawa dia mempunyai bukti panggilan telefon pada peranti tersebut yang mengukuhkan dakwaannya.

Pasangan itu telah berkahwin selama lebih 20 tahun dan dilaporkan kurang bertengkar. Mangsa juga pernah bekerja, namun bersara baru-baru ini.

Sementara itu, suspek dikatakan bertanya kepada polis sama ada dia boleh melihat mayat isterinya bagi membolehkannya meminta maaf.

Dia kini ditahan di balai polis Khlong Thom dan didakwa atas kesalahan membunuh. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan