'Dr M ambil masa 6 tahun, Anwar hanya 3 bulan untuk kenakan musuh politik'

Hidir Reduan Abdul Rashid

Ahli parlimen PAS, Awang Hashim berkata, Anwar Ibrahim mengeheret seteru politiknya ke mahkamah hanya dalam tempoh tiga bulan selepas dia dilantik sebagai perdana menteri.

Dalam pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah yang difailkan Anwar, Awang membuat perbandingan antara perdana menteri itu dan bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad.

Menurutnya, tindakan pertama Mahathir selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 1981 ialah membebaskan 21 tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Katanya, Operasi Lalang yang menyaksikan penahanan ahli politik kerajaan dan pembangkang hanya berlaku enam tahun selepas Mahathir memegang jawatan itu.

Sebaliknya, katanya, seteru politik Anwar dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh tiga bulan selepas dia dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Nov 2022.

"Jika dibandingkan tindakan kontroversi yang dibuat oleh Kerajaan Tun Mahathir ketika itu dengan tindakan kontroversi yang dibuat oleh kerajaan plaintif ketika ini, jelas menunjukkan bahawa dari segi jangka masa, kerajaan Tun Mahathir melakukan Operasi Lalang hanya 6 tahun selepas Tun Mahathir dilantik sebagai perdana menteri, walhal pertuduhan terhadap seteru politik dibuat oleh plaintif hanya dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Defendan mendakwa bahawa pertuduhan jenayah terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Bersatu, Wan Saiful Wan Jan bercanggah dengan dakwaan Anwar bahawa dia tidak mengamalkan politik dendam.

Awang mendakwa kes jenayah itu berlaku selepas plaintif mengeluarkan kenyataan pada 5 Dis tahun lepas dengan mendakwa Perikatan Nasional dibiayai syarikat judi dan berlaku penyalahgunaan dana dalam projek Jana Wibawa.

Kerjasama dengan Zahid

Ahli Parlimen Pendang itu juga berkata Anwar telah berhenti membuat kenyataan berhubung peranan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dalam skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS) selepas kedua-duanya membentuk kerjasama dan Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

"Kedua-dua situasi kes diatas melahirkan satu konklusi yang jelas bahawa Kerajaan Plaintif akan cuba melindungi atau melengahkan penyelesaian sebarang isu yang membabitkan sekutu politik terkini, namun akan bingkas dan tegas terhadap seteru politik terutamanya Perikatan Nasional. Maka inilah yang dimaksudkan oleh Defendan sebagai “strategi” dan “kaedah mengugut,” katanya.

Pada 3 Mac, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Awang atas dua dakwaan iaitu mendakwa presiden PKR itu menyalahgunakan kuasa dengan campur tangan dalam agensi penguatkuasaan dan pendakwaan di Malaysia, dan kedua berhubung isu pelantikan plaintif sebagai perdana menteri ke-10.

Awang menyebut mengenai pembelaan justifikasi di mana defendan bersedia membuktikan di mahkamah kenyataan atau dakwaan yang dibuatnya dan kedua, kenyataan itu dibuat sebagai komen yang berpatutan, bukannya sebagai kenyataan fakta melibatkan isu kepentingan awam.

Menurut pernyataan pembelaannya, Awang berkata dia tidak mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Anwar tetapi membuat ulasan yang adil mengenai "proses pra-pelantikan".

Defendan mendakwa bahawa dia membuat pemerhatian yang disokong oleh fakta mengenai “komplot Anwar dengan Zahid” untuk memaksa 10 Ahli Parlimen BN menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri.

Anwar diwakili peguam Sankara Nair manakala Awang diawakil firma guaman Amalin & Faizi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan