Politik cari makan: Awat lagu tu?

Mohsin Abdullah

Saya tidak terperanjat, apa lagi hairan, apabila isu atau lebih tepat tuduhan kononnya azan sukar atau tidak kedengaran di Pulau Pinang. Untuk disensasikan lagi tuduhan diolah laungan azan diharamkan di masjid dan surau di Pulau Pinang.

Tuduhan itu ditimbulkan sekitar 2011. Kemudian senyap. Ditimbulkan semula sebelum dan menjelang PRU13 pada 2013. Ia dilempar musuh politik Pakatan Rakyat terutama terhadap DAP. Objektifnya nyata. Yakni menuduh DAP anti-Islam manakala orang Islam dalam parti sekutu merestui atau tidak mampu membantah. Sasaranya pengundi Melayu-Islam. Bagaimanapun berdasarkan keputusan PRU13, jelas strategi itu tidak berjaya.

Anjak ke 12 April lalu, dilaporkan Ismail Abd Muttalib, Ahli Parlimen Maran, daripada PAS mengemukakan soalan bertulis kepada Dewan Rakyat bertanya mengapa ada “sebuah kerajaan negeri” mengeluarkan arahan kepada semua masjid memperlahankan laungan azan melalui alat pembesar suara.

“Apakah punca sebenar menyebabkan sebuah kerajaan negeri di negara ini mengeluarkan perintah larangan kepada semua masjid di negeri berkenaan supaya memperlahankan setiap kali azan apabila solat lima waktu?” soal beliau.

Benar Ismail tidak menamakan negeri yang beliau maksudkan. Namun seperti dikata tadi Pulau Pinang pernah dituduh mengeluarkan arahan suara azan dilarang atau diperlahankan. Bagi saya bukan mustahil negeri itu yang Ismail, dalam diam, maksudkan.

Apa pun pertanyaan beliau dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar bahawa tidak ada perintah sedemikian di mana-mana negeri seperti didakwa Ismail. Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, ketika menafikan dakwaan itu berkata azan dan iqamah menggunakan pembesar suara luar masjid atau surau dibolehkan. Bagi ceramah, baca Al-Quran dan sebagainya dibenarkan menggunakan pembesar suara dalam masjid dan surau.

Seperkara lagi. Di Pulau Pinang azan subuh dilaungkan dua kali. Yang pertama bagi bangunkan umat Islam yang sedang tidur dan memberi isyarat waktu subuh sedang hampiri. Azan kedua menandakan masuk waktu subuh. Bagi saya amat menarik kata-kata pemimpin PKR, Fahmi Zainol, kepada Ismail: “Patutnya hang tanya Yusni Mat Piah. Negeri kami siap azan dua kali tau dak?” Yusni Mat Piah merujuk kepada Adun Penaga yang satu parti dengan Ismail.

Izinkan saya memetik satu laporan Malaysiakini yang menyatakan Yang Dipertua PAS Padang Serai, Shaharuddin Ibrahim, pernah membuat kenyataan berbunyi: “Kalau DAP menguasai negara … nuu Pulau Pinang tuan-tuan ‘bang’ (azan) dah tak boleh dah, ‘bang’ tak boleh dah tuan-tuan.”

Bagaimanapun beliau kemudian meminta maaf kepada kerajaan Pulau Pinang dan DAP. Ini berlaku pada 2016.

Sebenarnya orang Tanjung dan orang yang pernah berkunjung ke Tanjung tahu akan hal azan ini. Tetapi mengapa PAS mahu terus memainkannya? Jawapannya PRN yang akan diadakan tidak lama lagi. PAS pada hemat saya seolah mahu “take a chance with the issue”.

Perikatan Nasional terutama PAS masih ghairah dengan Gelombang Hijau yang terjadi pada PRU15. Mereka yakin hijau akan bergelombang lagi pada PRN. Malah penganalisis politik, Sivamurugan Pandian, dipetik Sinar Harian tempoh hari meramal Kedah, Kelantan, dan Terengganu akan kekal milik PAS dan “di Pulau Pinang akan wujud persaingan besar di kawasan yang majoriti pengundi Melayu”.

Ini katanya “kerana di negeri itu ada 14 kerusi yang mana 11 di tanah besar dan tiga di pulau. Ia akan menjadi tarikan kepada PAS-PN untuk melihat sama ada mereka mampu atau sebaliknya dapatkan sokongan lebih besar.”

Selain dakwaan “agama Islam terancam”, apa isu yang akan dicanang untuk meraih undi Melayu? Mungkin soal orang Melayu terpinggir, tidak menikmati pembangunan, serta tidak mampu memiliki kediaman mewah yang didirikan. Sebenarnya inilah isu yang dibawa Umno semasa ia menjadi pembangkang di Pulau Pinang. Strategi itu bagaimanapun tidak membawa hasil yang diidamkan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, menyifatkan anggapan PN bahawa ia boleh memang mudah kerusi majoriti Melayu adalah salah. Katanya, andaian PN itu berdasarkan tanggapan undi Melayu sangat pro-PN. Tetapi Ramasamy yakin tadbir urus baik Pakatan Harapan akan memenangi sokongan Melayu di Pulau Pinang. Tadbir urus baik yang beliau katakan itu memang susah untuk pembangkang menidakkan. Tidak dinafikan juga banyak program kerajaan negeri yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu.

Cuma kini timbul isu projek tambak laut Selatan Pulau Pinang, yang menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow mendapat sokongan majoriti penduduk. Projek sudah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar atau EIA. Pun begitu nelayan membantah kerana percaya mereka akan terkesan dan bilangan terbabit agak ramai. Oh ya mereka orang Melayu yang layak mengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan