Tok Mat ingatkan ahli UMNO agar sedar diri, jangan tuntut macam-macam

SEDARLAH DIRI KERANA KITA HANYA MENUMPANG KASIH, INGATAN TOK MAT KEPADA UMNO
Shahbudin Husin 

Selama ini, apabila saya menyebut dalam tulisan saya bahawa UMNO hanya menumpang dalam kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim ini, ada beberapa pihak yang marah-marah kepada saya.

Kata mereka, istilah menumpang itu tidak wajar digunakan kerana UMNO dan BN adalah komponen penting dalam kerajaan.

Malah kata mereka, tiada istilah menumpang kerana kerajaan dibina atas semangat bersama daripada semua parti yang ada.

Saya faham semua luahan itu, cuma apa yang saya tekankan ialah agar UMNO jangan lebih-lebih dalam menuntut itu dan ini di sebalik keberadaannya dalam kerajaan sekarang.

Apa juga tuntutan haruslah berpada-pada, apa lagi BN hanya ada 30 kerusi daripada 148 kerusi Parlimen yang menyokong kerajaan.

Contohnya, menuntut pembebasan Najib Razak dan waktu yang sama mengancam bahawa Anwar akan jadi Perdana Menteri paling pendek tempoh perkhidmatannya jika tuntutan itu tidak dipenuhi, adalah tidak wajar sama sekali.

Lebih-lebih kerana dengan sokongan 30 kerusi daripada UMNO dan BN itu, kerajaan secara realitinya tidak akan tumbang jika mereka menarik diri atas sebab Najib tidak dibebaskan.

Nah…sekarang Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sendiri menyatakan UMNO hanya menumpang kasih dalam kerajaan ini.

“Kita kena sedar diri dan jangan berperangai seperti ketika kita memerintah dulu,” kata beliau.

Adakah mereka yang marah-marah dengan saya sebelum ini nak marah kepada Tok Mat kali ini? – ShahbudinHusin 19/04/2023.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan