Wanita maut diracun dengan martabak

Agensi

Jakarta: Seorang wanita dari Kediri, Jawa Timur maut selepas makan martabak manis dipercayai mengandungi racun yang diberikan seorang lelaki.

Tribunnews melaporkan, wanita berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia pada Isnin, ketika menerima rawatan di hospital di Soekandar, Mojosari.

Mangsa didakwa diracun selepas mulutnya berbuih ketika ditemui di dalam bilik di perkampungan di Desa Ngimbangan, Mojosari, Mojokerto.

Sebelum itu dia dikatakan diberi makan martabak manis atau dikenali kuih terang bulan kira-kira jam 5.30 petang, Ahad oleh lelaki yang bertandang ke rumahnya.

Ketua Polis Mojosari, Kompol Kariono berkata, mangsa sempat menyerahkan kembali baki martabak itu kepada 'tetamu' terbabit.

"Mangsa makan sedikit martabak manis itu tetapi disebabkan rasanya pahit, dia kemudian menyerahkan baki martabak itu kepada lelaki berkenaan," katanya dilapor Kompas.

Kira-kira jam 7 malam, mangsa dikunjungi lelaki lain, namun tidak mengadu apa-apa mengenai keadaan dirinya hingga lelaki itu meninggalkan rumah.

Kariona berkata, selepas itu mangsa mengalami gejala pening, sakit tekak dan muntah selain badannya lemah dan dibawa ke hospital.

"Pada jam 3.35 pagi Isnin mangsa meninggal dunia ketika rawatan dengan mulutnya mengeluarkan buih," katanya.

Menerusi tanda-tanda dialami mangsa, polis percaya wanita itu meninggal dunia akibat diracun.

"Racun dimasukkan terus ke dalam martabak manis yang dimakan mangsa.

"Hasil siasatan awal juga menunjukkan ada kerosakan pada organ mangsa," katanya.

Polis Mojosori juga sudah mengenal pasti identiti suspek dan mengambil tindakan selanjutnya.
- hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan