Zuraida nafi ingin sertai Bersatu semula

Malaysiakini 

Bekas ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menafikan dia ingin kembali menyertai semula Bersatu selepas pilihan raya umum ke-15.

“Ini tidak benar... saya cuma sebut saya akan sokong PN (Perikatan Nasional) pada pilihan raya (negeri) akan datang.

"Saya sokong parti berbilang kaum. Budak ini baik jaga mulutnya," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej teks.

Zuraida mengulas laporan FMT yang memetik Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai berkata Bersatu menolak permohonan Zuraida untuk menyertai semula parti itu selepas PRU15.

Ini, menurut ahli Parlimen Machang itu, kerana Zuraida sebelum ini enggan melepaskan jawatan menteri yang diisi atas kuota Bersatu selepas keluar parti.

Tambah Wan Fayhsal, keputusan menolak permohonan Zuraida dibuat secara sebulat suara.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata dia akan menghubungi Wan Fayhsal untuk menjelaskan perkara itu.

Zuraida menyertai Bersatu selepas dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Selepas meninggalkan Bersatu, dia menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan, tetapi tidak lama kemudian dipecat berikutan perebutan kuasa dengan presidennya Larry Sng.

Zuraida kini adalah Timbalan Presiden Muafakat Nasional, sebuah NGO yang diasaskan oleh bekas pemimpin Umno Annuar Musa.

Bekas menteri itu bukan sahaja gagal mempertahankan kerusi parlimen Ampang, yang disandangnya selama tiga penggal, pada PRU15 tetapi juga kehilangan wang pertaruhannya.

Bulan lalu, katanya, dia akan menyokong Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri akan datang di enam negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan