B Nantha Kumar
Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan kesal dituduh kafir selepas dia dilaporkan meminta ahli parti itu menyokong calon DAP di kawasan masing-masing bagi mengukuhkan kerajaan persekutuan.
Ahli parlimen Pontian itu berkata kenyataan menggesa ahli parti sokong parti yang berada dalam gabungan yang sama adalah perkara biasa dalam politik.
"Yang saya sebut sebelum ini, saya kata sokongan bukan atas nama DAP tetapi atas nama kerajaan perpaduan.
"Kita saling membantu antara satu sama lain. Sebagai calon DAP yang kalah di Pontian pada PRU15 mendapat 15,000 undi. Dan apabila kita berada dalam kerajaan perpaduan pada PRU16, saya kira DAP tak akan tanding lagi di Pontian. Maka, 15,000 orang yang sebelum ini undi DAP mungkin akan undi BN atau calon Umno.
"Oleh kerana itu, apabila DAP membantu kita dalam pertandingan kita terlibat adalah menjadi lumrah politik bahawa kita juga bantu parti-parti dalam kerajaan perpaduan.
"Saya bukan menyatakan sesuatu yang luar biasa, tetapi kecaman kononnya, saya minta ahli Umno mengundi DAP, maka timbul tuduhan-tuduhan yang amat menyakitkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tandatangan perjanjian Penghapusan Cukai Dua Kali Mengenai Cukai atas Pendapatan dan Pencegahan Pelarian dan Pengelakan Cukai (PPPDK) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Maldives di bangunan parlimen pagi tadi.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pda 20 Mei lalu menyifatkan tindakan Ahmad meminta ahli parti menyokong DAP pada pilihan raya negeri akan datang sebagai "luar biasa".
Beberapa akaun di Facebook yang tidak diketahui pemilik sebenarnya turut memuat naik gambar Ahmad yang ditukar wajahnya menjadi khinzir dengan tulisan 'kafir' di atasnya.
Susulan itu, beberapa laporan polis dibuat termasuk daripada Pemuda Umno yang membuat laporan polis hari ini.
"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa pihak yang telah membuat laporan polis terhadap akaun Facebook yang mengkafirkan saya.
"Ini isu sebenarnya bukan isu peribadi tetapi isu prinsip kita tidak boleh mengkafirkan orang hanya kerana saya sebut bukan kerana DAP tetapi kerajaan perpaduan, maka kita hendaklah saling membantu antara satu sama lain.
"Saya ingin maklumkan PAS pernah bersama DAP ketika gabungan Pakatan Rakyat. Bersatu pernah bersama DAP pada gabungan PH sebelum ini.
"Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) pernah menyebut undi calon DAP. Presiden Bersatu pernah menyebut undi calon DAP, kami tidak pernah mengkafirkan mereka," katanya lagi
Katanya, dia tidak pernah mendesak mana-mana pihak untuk membuat laporan polis, sebaliknya ia dibuat atas kehendak mereka sendiri.
Dia berkata ini kerana tindakan membuat naik gambarnya dengan wajah khinzir dan tulisan 'kafir' dilihat sebagai melampau.
"Saya tidak mengatakan ia dimiliki oleh parti tertentu tapi ialah daripada ayat-ayat disebut melambangkan bahawa kerendahan ilmu pihak yang berkaitan.
"Ia tiada kaitan dengan akidah pun apabila DAP pernah menandatangani apa yang dipanggil sebagai 'Deklarasi Malaysia Baru' pada 2019, mereka memperakui Islam, Melayu, Raja dan bahasa Melayu.
"Ini menunjukkan tiada ada perkara berkaitan akidah dan sebagainya apabila kita bersama dalam kerajaan perpaduan ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan