SHAHBUDIN HUSIN
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi cabaran kepada seorang pemimpin politik Melayu supaya mendedahkan semua harta peribadi dan aset dimiliki keluarganya.
Tanpa menyebutkan nama pemimpin berkenaan, Anwar mengulangi cabaran itu ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri anjuran kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Majlis Bandaraya Seremban, dua hari lalu.
“Harta kamu berbilion, anak ada pesawat, ada kapal, ada bank di luar negara, jual itu semua, bawa balik dan berikan kepada orang Melayu di Malaysia ini, baru betul jadi Pejuang.
“Itu belum dijawab, saya minta mereka jawab, berapa bilion dia ada, mana dia dapat wang itu, pulangkan balik kepada orang Melayu di Malaysia,” katanya tanpa menyebut nama bekas Perdana Menteri itu.
Di sebalik Tun Mahathir Mohamad kini menggerakkan Proklamasi Melayu, Anwar menegaskan, kerajaan pimpinannya akan terus mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu di negara ini.
“Apa saya khianat untuk orang Melayu? Bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu?
“Projek untuk Melayu kami pertahankan dan (projek) sedia ada Jana Wibawa, untuk orang Melayu, kami ambil tindakan sebab apa, ia projek orang Melayu tetapi diberikan kepada orang Cina. Projek Melayu tetapi mereka ‘sakau’ duit.
“Ada tokoh-tokoh Melayu, Tun, Tan Sri yang kaya raya heboh mahu jaga Melayu, mereka kata Anwar sudah tidak boleh harap, (Datuk Seri Ahmad) Zahid tidak boleh pakai, tidak boleh jaga Melayu.
“Saya mahu tanya mereka, apa yang kami serah? Enam bulan kami pegang jawatan, saya beri apa kepada bukan Melayu”, tegasnya Anwar lagi.
Sebelum ini, ketika berucap di Permatang Pauh, Anwar turut mengulangi kenyataannya berkenaan kekayaan yang dimiliki oleh Tun Mahathir, keluarga dan kroninya.
“Ketika mereka berkuasa sibuk memperkayakan sanak saudara. Bila sudah tidak mentadbir negara baru nak bersuara bantu dan selamatkan orang Melayu?
“Saya nak cakap pada pembesar, Tun dan Tan Sri yang kaya ini, kalau betul nak tolong Melayu, apa yang kamu ambil berpuluh bilion selama ini, bagi setengah daripadanya kepada orang Melayu esok.
“Saya harap perkara ini sampai, Tun Mahathir ke Tun Daim saya tak peduli. Berapa kekayaan? RM10 bilion, RM15 bilion?
“Betul nak tolong, nak jadi pejuang, nak selamatkan Melayu? Yang kamu sakau beri semula pada orang Melayu,” katanya dengan nada penuh semangat.
Di sebalik sudah pun disaman oleh Tun Mahathir kerana mendakwa bekas Perdana Menteri itu mengumpul kekayaan untuk diri sendiri, anak-anak dan kroninya ketika berkuasa dahulu, Anwar nampaknya tidak mengendur walau sedikit pun.
Selepas mendakwa Tun Mahathir mengumpul kekayaan untuk diri sendiri, anak-anak dan kroninya, kemudian meminta menyerahkan separuh daripada kekayaan itu jika benar mahu menolong orang Melayu, terbaru beliau mencabar pula bekas Perdana Menteri itu dan kroninya agar mendedahkan kekayaan yang dimilikinya.
Tidak takut dengan saman sedia ada, Anwar kini seolah-olah disaman sekali lagi, mungkin kali ini oleh Tun Mahathir bersama segala kroni-kroninya pula.
Ini benar-benar cari pasal nampaknya…
Pokoknya, kalau Anwar tiada bukti dalam tangannya, beranikah beliau terus garang mengasak Tun Mahathir sedemikian rupa? – ShahbudinHusin 08/05/2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan