Bakal pengantin didakwa rogol gadis dalam kereta

NORLIZAH ABAS
 
KUALA LUMPUR: Seorang joki kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 18 tahun di dalam kereta di kawasan sebuah pusat hiburan di sini, dua minggu lalu.

B. Satia, 26, meminta dibicarakan atas pertuduhan merogol mangsa dalam kereta Honda City kira-kira pukul 5.20 pagi, 13 Mei lalu di tempat kejadian di Jalan Tun Razak di sini.

Tertuduh yang bakal mendirikan rumah tangga didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan Satia diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa atau jaminannya dibatalkan.

Lelaki itu turut diarah melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali manakala tarikh 21 Jun ini ditetapkan untuk sebutan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat-syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.

Menjawab soalan Izralizam, Roslizi memaklumkan tertuduh dan mangsa tidak mempunyai apa-apa hubungan.

Bagaimanapun, peguam Julie Faralisa Abd. Jais memohon jaminan rendah dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan ibu dan adik yang masih bersekolah.

Peguam memberitahu, Satia yang akan berkahwin sedia mematuhi syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan manakala jaminan akan dibayar oleh ibunya. – UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan