Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
MAYAT mangsa diusung pasukan polis untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi proses bedah siasat. FOTO Juwan Riduan
Kota Kinabalu: Wanita maut dipercayai dibunuh oleh bekas tunangnya di pusat beli belah di Jalan Haji Saman, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, 22, yang bekerja sebagai pembantu kedai ditemui terlentang di lantai dalam premis berkenaan dengan beberapa kesan tikaman pada tubuhnya.
Pada masa sama, suspek, 33, yang masih berada di lokasi kejadian ditahan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati mangsa masih bernafas dalam keadaan berlumuran darah dan pegawai perubatan segera memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan awal mendapati beberapa kesan tikaman di tubuhnya.
"Pasukan polis turut menahan seorang lelaki yang juga bekas tunang mangsa untuk siasatan lanjut.
"Polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan oleh suspek ketika kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Kalsom berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti motif kejadian.
"Kita masih menyiasat motif kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Sepasukan polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan