Malaysiakini
TH 'jual' aset: Bertaubatlah dan akui terlanjur, kata Mujahid
Sehari selepas rayuan saman ke atasnya ditolak mahkamah Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof mengingatkan pihak tertentu yang giat menyebarkan dakwaan kononnya Lembaga Tabung Haji (TH) menjual asetnya kepada orang bukan Islam.
Mujahid yang pernah menjadi menteri bagi hal ehwal Islam selepas PRU ke-14 pada 2018 lalu berkata, fitnah tersebut sudah tersebar dengan sangat meluas dan menyebabkan kebencian.
Pihak terbabit, katanya, seperti tidak mengendahkan persoalan dosa dan pahala, serta nasib yang menimpa pihak yang difitnah.
Dia juga menegaskan persoalan yang dibangkitkan itu bukan membabitkan dirinya secara peribadi sebaliknya melibatkan pihak yang lebih ramai dan meluas.
"Bukan soal saya tapi persoalan umat. Pohon maaflah kepada TH milik umat ini, beristighfarlah kepada Allah dan taubatlah," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.
Mengiringi kenyataan itu ialah rakaman audio Mujahid mengulas mengenai keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.
Pada Feb 2020 lalu bekas Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor Ahmad Dusuki Abd Rani mendakwa langkah diambil TH untuk memindahkan hak milik empat hotel agensi itu sebagai suatu "pengkhianatan besar" dan jahat terhadap umat Islam di negara ini.
Menganggap langkah berkenaan - yang diambil kerajaan PH ketika itu sebagai menstrukturkan semula TH - sebagai "tidak logik", Ahmad Dusuki juga mendakwa ia akan dikenang orang ramai sehingga ke liang lahad.
“Ni tengok bagaimana jahatnya yang dilakukan ini. Yang tanggung ini, kamu kena tanggung sampai di akhirat Allah SWT. Jangan main-main... harta orang Islam kan ni?
“[...] Yang ni, kalau orang sebut, sampai masuk dalam kubur orang sebut. Orang sebut sampai masuk dalam kubur,” katanya dalam satu rakaman ceramah yang disiarkan di saluran YouTubenya.
Rayuan saman ditolak mahkamah
Kira-kira lima bulan kemudian - apabila PAS bersama PN menjadi kerajaan selepas Langkah Sheraton - Ahmad Dusuki menyatakan kesyukurannya terhadap prestasi TH yang mencatat lebihan aset bernilai RM1.9 bilion.
Untuk rekod menteri agama dan timbalannya ketika itu disandang oleh pemimpin PAS.
“Alhamdulillah di atas nikmat yang Allah berikan pada kita.
“Semoga TH lebih berdaya saing untuk masa akan datang selain (dapat digunakan) kerajaan untuk meningkatkan ekonomi ketika negara kita dihimpit wabak Covid-19,” katanya.
Ahmad Dusuki pada 2022 mengemukakan saman ke atas Mujahid selepas dia menganggap ciapan pemimpin Amanah itu bersifat memfitnahnya. Bagaimanapun hakim di Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman Ahmad Dusuki.
Bekas calon PAS dalam PRU ke-14 itu juga diarah membayar RM11,000 sebagai kos kepada Mujahid.
Ahmad Dusuki kemudian membuat rayuan berhubung penolakan tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Sekali lagi permohonan tersebut ditolak oleh mahkamah semalam.
Ahmad Dusuki kemudian diarah membayar kos guaman Mujahid sebanyak RM7,000.
Kata Mujahid dengan terbuktinya dakwaan dibuat ke atas TH sebelum ini adalah fitnah, wajarlah mana-mana pihak yang membuat tuduhan serta menyebarkannya bertaubat.
"Istighfarlah kepada Allah dan bertaubatlah, akuilah para penyebar (bahawa) anda terlanjur kerana Allah Maha Pengasih," katanya.
Tambah bekas ahli parlimen Parit Buntar itu lagi, keputusan mahkamah tinggi semalam juga berjaya mengembalikan maruah TH yang berdepan dengan pelbagai tuduhan sebelum ini.
“Hentikanlah fitnah politik ini yang terbukti ia suatu pembohongan besar dalam sejarah TH.
“Kemenangan ini mengembalikan semula maruah TH dan umat Islam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan