Bila Mahathir ketik jari, bergegas datang Hadi

Mohsin Abdullah

Saya petik dialog satu babak filem komedi Tiga Abdul. Berkata lah anak bongsu saudagar barang-barang purba, Sadiq Segaraga, iaitu Ghasidah (lakonan Sarimah) kepada Abdul Wahub (laporan P Ramlee): “Sekali di sini ketik sepuluh yang datang tau.”

Saya kira begitu juga lah kisahnya dengan Mahathir Mohamad. Sekali beliau ketik bergegas Hadi Awang, presiden PAS, bersama rombongan datang mengadap, untuk menyokong apa yang dinamakan Proklamasi Melayu.

Rasanya ramai tahu pertama kali Mahathir mengumumkan proklamasinya itu pada Mac lalu. Walaupun mendakwa tanpa bukti hasrat menganjurkan himpunan
proklamasi itu disekat, sambutan terhadap agenda itu agak dingin termasuk daripada PAS. Ringkasnya parti itu tidak mengeluar sebarang reaksi.

Beberapa hari lalu Mahathir berkicau menerusi Twitter yang membawa makna rakyat tidak perlu takut dengan pengaruh Gelombang Hijau.

Catatan beliau saya ibaratkan Mahathir mengetik jari. Lima hari kemudian Hadi diiringi antaranya Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan. Lantas teringat kata-kata Ghasidah dalam filem Tiga Abdul yang diperkatakan tadi.

Hadi menyifatkan sokongan yang diberikan sebagai kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam. Kata saya cuma sokongan berkenaan diberi selepas Mahathir memuji Gelombang Hijau yang kita tahu kemenangan besar PAS di wilayah utara dan pantai timur Semenanjung pada PRU15. Adakah satu kebetulan? Tak apa lah.

Saya lanjut dengan mengulangi pendapat pemerhati politik yang saya utarakan pada artikel 29 April lalu, yakni mereka percaya Mahathir sedang menunjukkan sokongan kepada apa dan siapa sahaja asalkan bukan Anwar Ibrahim.

Semalam FMT memetik penganalisis politik berkata Mahathir menghimpunkan kumpulan anti-Anwar melalui proklamasi itu. Menurut Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, menghimpunkan kumpulan anti-Anwar akan mengkukuhkan pengaruh pembangkang dalam kalangan pengundi Melayu terutama di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Namun bagi Ibrahim Ali, politikus yang pernah menyokong Mahathir, menentangnya dan sokong semula, sukar bagi Mahathir mengetuai rancangan menjatuhkan kerajaan dan percaya pertemuan Mahathir–Hadi “bukan bersifat gerakan politik”.

James Chin dari Universiti Tasmania pula dipetik FMT berkata kumpulan anti-Anwar yang dihimpunkan Mahathir sememangya mempunyai matlamat sama dan mereka boleh uji kekuatan semasa pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Percubaan menggulingkan Anwar dan kerajaan perpaduan tidak ada salahnya jika menggunakan lunas demokrasi. Yang menjadi masalah ialah percubaan merampas kuasa ala Langkah Sheraton. Diharapkan Mahathir tidak terlibat dalam apa-apa usaha ala langkah itu. Sehingga sekarang ada pihak yang masih yakin beliau ada peranan dalam Langkah Sheraton Februari 2020 meskipun Mahathir menafikannya.

Sekarang ada desas-desus komplot untuk jatuhkan kerajaan tanpa menerusi peti undi sedang diatur dan dikatakan akan dijalankan. Ertinya merampas kuasa sekali lagi melalui pintu belakang atau tebuk atap versi 2.0. Adakah ini benar atau sekadar cakap-cakap kosong?

Ada pihak yang seolah seronok melihat tercetusnya tanda tanya. Misalnya teka teki pemimpin Bersatu, Faiz Na’aman, dengan hantaran di Facebook mengenai angka 126.

“Wartawan tanya saya pasal 126 tu. Saya sebut maaf tiada komen. ‘Just wait and see’. Saya juga tak pernah cakap itu nombor apa. Tapi dulu Anwar pun selalu sebut ‘I have the numbers’,” katanya dipetik Malaysiakini. Maka timbullah spekulasi demi spekulasi.

Presiden Umno, Zahid Hamidi, beberapa kali menegaskan Ahli Parlimen dari partinya akan terus sokong Anwar dan kerajaan perpaduan. Ramai yang pro-kerajaan saban hari mengingatkan kita rampasan kuasa atau tukar kerajaan sekarang akan memudaratkan negara. Walaupun apa yang dikatakan itu benar tetapi apabila peringatan kerap diulangi saya tidak dapat elak daripada bertanya, “kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang.”

Mungkinkah mereka tahu apa yang kita tidak tahu?

Dalam pada itu FMT menyiarkan laporan tempoh hari dengan memetik sumber berkata Istana Negara tidak akan melayan sebarang dakwaan oleh mana-mana pihak bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah kehilangan sokongan majoriti.

Sumber itu memberitahu portal berita ini perubahan secara mendadak mungkin tidak berlaku sambil menambah “sebarang percubaan untuk menukar kerajaan menerusi Istana tidak akan berlaku.”

Dan “jika hendak ubah kerajaan ia mesti dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya atau pembubaran Parlimen.”

Tampil Sultan Johor. Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyuarakan kebimbangan desas-desus gerakan cuba menggagalkan kestabilan kerajaan selepas PRU15. Titahnya gerakan ke arah itu terus kedengaran sehingga ke hari ini.

“Sudah sudahlah.Sampai bila lebih 30 juta rakyat hendak menanggung keadaan begini? Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titahnya menerusi akaun rasmi Facebook baginda.

Memang tepat apa yang dititahkan tetapi adakah gerakan tumbangkan kerajaan akan terhenti dengan bertitahnya Sultan Johor?

Logik atau afdalnya tidak harus diganggu gugat kerajaan yang ada ini kerana ia ditubuhkan atas nasihat Yang di-Pertuan Agong demi kebaikan negara. Namun logik dan afdal sering diketepikan demi jalan pintas untuk mendapat kuasa, meskipun menyusahkan rakyat dan memudaratkan negara.

Pendapat saya si pengkomplot akan terus berkomplot. Saya harap saya salah dalam membuat kesimpulan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan