Budak tahu cara pandu kereta, polis tolak cerita ‘tok wan berbulu’

Malaysiakini
story-image
Polis menolak unsur mistik yang dikaitkan dengan insiden kanak-kanak belum bersekolah memandu kereta sehingga kemalangan di Langkawi.

Pihak berkuasa berkata kanak-kanak itu tahu beberapa teknik pemanduan, termasuk penggunaan pedal minyak dan gear, cara turunkan brek tangan dan mengundur kereta.

“Kanak-kanak tersebut juga menunjukkan cara menghidupkan enjin dan dapat hidupkan enjin apabila diminta.

“Kita menolak sebarang unsur mistik seperti mana yang ditularkan,” kata Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari.

Bagaimanapun, katanya pemeriksaan kamera kereta mendapati pemanduannya tidak stabil dan memasuki lorong bertentangan dan terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan. 

Sebelum ini tular video seorang budak enam tahun membawa adiknya yang berumur tiga tahun bersiar-siar menggunakan kereta di Langkawi.

Kereta itu terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu setelah bergerak sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

Tertanya-tanya bagaimana dia memandu kereta itu, timbul teori mistik yang mengaitkan insiden itu dengan lembaga yang dirujuk sebagai “tok wan” yang badannya panas dan berbulu.

Dakwaan itu muncul susulan pengedaran rakaman suara kanak-kanak lelaki tersebut di media sosial.

Selain “tok wan”, nama “pak cik” dan “pak lang” turut disebut.

“Bukan abang bawa, pak lang bawa pakcik bawa.

“Tok wan ajak pergi main game,” kata seorang kanak-kanak, yang dikatakan terlibat dalam insiden itu.

Kesahan rakaman itu dan pemilik suara itu bagaimanapun tidak dapat disahkan buat masa ini.

Menurut kanak-kanak itu, tok wan membawa kereta dengan seorang kanak-kanak duduk di ribanya, pak cik duduk di sebelah pemandu manakala pak lang pula di bahagian belakang.

Bagaimanapun bukan semua percaya dengan cerita itu.

Mereka berhujah tidak mustahil budak berusia enam tahun boleh memandu kerana kereta.

“Mungkin kereta vios baru, guna brek parkir elektronik,” kata seorang pengguna Twitter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan