Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my
Melaka: Dua beradik yang juga mudir serta warden sebuah pusat tahfiz di negeri ini ditahan polis hari ini selepas disyaki melakukan amang seksual dan penderaan pelajar.
Kedua-duanya yang juga warga Singapura ditahan di Tanjung Minyak antara 1 hingga 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, lelaki berusia 40 dan 36 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima enam laporan yang dibuat enam pelajar pusat itu.
Katanya, pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga semalam, mendakwa mereka dicabul oleh suspek pertama.
"Tiga pelajar pula mendakwa mereka didera secara fizikal dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh warden iaitu suspek kedua," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, berdasarkan keteranganm mangsa memaklumkan kejadian berlaku beberapa kali dengan kejadian terbaharu pada 7 Mei lalu.
"Punca pelajar ini dikatakan didera dipercayai kerana mereka lambat membuat kerja yang disuruh antaranya membersihkan tahfiz.
"Kejadian itu didakwa berlaku di tiga lokasi berasingan iaitu di pusat tahfiz itu yang terletak di Melaka Tengah, Alor Gajah serta di sebuah kondominium di Klebang," katanya.
Sementara itu, Zainol berkata, semakan dilakukan mendapati suspek pertama yang juga pengasas pusat tahfiz berkenaan mempunyai rekod lampau membabitkan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) AKSTK dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan