FMT Reporters
Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata pertemuan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah dirancang sejak Ramadan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menjelaskan pertemuannya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam tidak mempunyai kaitan dengan politik.
Hari ini, tular poster Nik Abduh tertera tulisan ‘Nik Abduh Nik Aziz calon Menteri Besar Kelantan’ dan ‘Kelantan Membangun Bersama Perpaduan’ selain logo Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).
Menurut anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Aziz itu, ia hanya pertemuan biasa yang telah dirancang sejak Ramadan, namun tidak berlaku kerana jadual perdana menteri yang padat.
“Pada pertemuan itu saya mengucapkan tahniah kepada beliau dan mendoakan semoga Datuk Seri (Anwar) dapat jalankan tugas dengan baik sebagai perdana menteri,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Pada 3 Nov lalu, Nik Abduh dikatakan secara sukarela tidak mempertahankan Parlimen Bachok pada PRU15.
Mengulas berhubung pertemuan bersama Nik Omar, beliau berkata, ia kebetulan kerana abangnya juga mahu bertemu dengan Anwar.
Gambar perjumpaan berkenaan mula tersebar selepas dimuat naik pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin yang turut hadir.
Terdahulu, Wan Ji memuat naik dua keping gambar sambil berkata ‘InsyaAllah, legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz sentiasa di hati Perdana Menteri Malaysia’.
Menerusi hantaran lain pula, Wan Ji memaklumkan, walaupun ada pihak berusaha mahu matikan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz, pasti akan ada pihak berusaha mengangkat legasi itu.
“Ramai wartawan hubungi, tapi saya ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Petang ini, ada berjumpa dengan seorang ulama hadis hebat pula,” katanya menerusi Facebook.
Gambar perdana menteri mengadakan pertemuan dengan dua anak allahyarham Nik Abdul Aziz itu dalam media sosial telah mencetuskan spekulasi ramai pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan