FMT Reporters
PETALING JAYA: Nada Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria hari ini berubah apabila hanya menekankan pertemuan bersama wakil rakyat kerajaan sebelum ini hanya “perjumpaan biasa”, selepas Saarani Mohamad menegaskan pentadbirannya stabil didukung 32 Adun.
Semalam, menurut Utusan Malaysia, pesuruhjaya PAS Perak itu berkata: “Saya tahu (gerakan tumbangkan kerajaan negeri) sebab ada beberapa orang (Adun kerajaan) yang jumpa saya. Tapi tak kan saya nak cerita (terperinci).”
Bagaimanapun, hari ini, Adun Semanggol berkenaan, berkata pertemuan bersama wakil rakyat kerajaan sebelum ini “tiada kaitan dengan khabar angin” wujud usaha untuk menggantikan kerajaan negeri.
“Memang menjadi kebiasaan saya berjumpa dengan beberapa Ahli Dewan, cuma bertukar-tukar fikiran dan berbincang mengenai keadaan negeri dan keadaan politik semasa, itu biasa dan lebih daripada empat orang pun. Ia perjumpaan pada majlis jamuan, perkara biasa apabila berjumpa kita sembang.
“Kalau menteri besar kata kerajaan negeri kukuh, dia tak perlu risau dan sekurang-kurangnya rakyat tahu usaha Umno untuk mengukuhkan kerajaan yang ada, sehingga (bila) wallahuaklam, tapi dia tak perlu risau,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Semalam, Razman juga enggan mendedahkan jumlah dan nama wakil rakyat dari parti membentuk kerajaan perpaduan Perak yang bertemu dengannya.
“Kebenarannya (gerakan tumbangkan kerajaan negeri Perak) tak dapat nak dibuktikan, umpama kalau seseorang itu merancang nak pergi mencuri, tapi jadi atau tidak, kita tak tahu.
“Saya tak tahu ini perancangan siapa, benar atau tak benar itu saya tak tahu, kalau benar berlaku kita mengalu-alukannya,” katanya.
Hari ini, Saarani berkata, beliau bersama semua Adun kerajaan sebulat suara menyatakan komitmen mendukung kestabilan dalam kerajaan, sekali gus menafikan dakwaan kononnya wujud usaha menjatuhkan kerajaan.
Beliau turut menasihatkan menasihatkan semua pihak untuk berpolitik secara bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan polemik yang tidak mendatangkan manfaat kepada negeri.
“Saya juga mengajak semua rakan-rakan parti politik termasuk pembangkang untuk bermuhasabah menyuburkan politik matang dengan memberi idea atau teguran demi kebaikan rakyat dan kemajuan negeri, bukan mencipta persepsi yang akhirnya mengundang ketidakstabilan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan