WAN SITI AMINAH
Mengejutkan, seorang pekerja pembersihan tidak menyangka bakal menemui wang berjumlah ratusan ribu ringgit di dalam plastik sampah.
Ketika kejadian yang berlaku pada bulan Januari lalu, pekerja tersebut sedang mengasingkan kertas dari sisa sampah untuk dikitar semula.
Alangkah terkejutnya pekerja itu apabila dia mendapati salah satu plastik itu diisi dengan wang berjumlah 10 juta yen (sekitar RM329,068).
Wang tersebut dijumpai di sebuah kemudahan pengumpulan sampah di Sapporo, Jepun, lapor laman berita Sora News semalam.
Semenjak dilaporkan kepada pihak berkuasa, terdapat 16 percubaan dilakukan oleh orang ramai untuk menuntut wang tersebut.
Geli hati, pelbagai alasan diberikan penuntut demi mendapatkan wang itu, antaranya dibuang oleh ahli keluarga yang menghidap demensia.
Ada juga individu yang mendakwa meletakkan wang tersebut di dalam kertas surat khabar sebelum tidak sengaja membuangnya.
Walau bagaimanapun, mereka yang cuba menuntut wang tersebut gagal menerangkan dengan tepat mengenai wang itu dan keadaan ia dijumpai.
Oleh kerana tiada yang berjaya menuntut, pemilikan wang tersebut diserahkan kepada Bandar Sapporo pada 30 April lalu.
Hal ini kerana, undang-undang Jepun hanya membenarkan pemilik menuntut wang itu dalam tempoh tiga bulan bermula dari hari ia ditemui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan