Hina ucapan asalamualaikum suspek ditahan

Malaysiakini 

Pasukan petugas atau task force siasatan 3R (raja, agama dan bangsa) polis telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kerana didakwa menghina Islam dalam video yang tular.

Suspek yang ditahan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam itu, adalah atas pertuduhan mempersendakan ucapan “asalamualaikum” oleh umat Islam. Dua telefon bimbit dan tiga kad SIM turut dirampas.

Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Seksyen 298A adalah berkaitan dengan kesalahan yang menyebabkan "suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama."

Manakala Seksyen 233 adalah kesalahan membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Sejak penubuhan pasukan petugas 3R pada Mac tahun ini, 12 orang telah ditahan dan 18 kertas siasatan telah dibuka.

“Polis menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan dan rasa benci, mencetuskan ketidakharmonian dan perpaduan kaum, bangsa dan agama bahkan boleh menyentuh sensitiviti sistem beraja.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada demi melindungi untuk menjaga ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” kata ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman petang ini.

Awal hari ini, pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa pihak berkuasa supaya bertindak terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana "mengancam keharmonian kaum dan keselamatan negara."

Ini kerana kata, Pengerusi DAP itu jenama politik pemimpin PAS tersebut mengancam perpaduan dan integrasi nasional.

Lim juga menggesa rakyat Malaysia supaya beramai-ramai membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi bagi menamatkan “politik pecah belah, pelampau dan perkaumannya”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan