Ibrahim Ali sangsi Dr M mampu jatuhkan kerajaan

Nora Mahpar

PUTRAJAYA: Presiden Putra Ibrahim Ali sangsi dengan kemampuan Dr Mahathir Mohamad merancang menjatuhkan kerajaan, sambil percaya pertemuan bekas perdana menteri itu bersama Abdul Hadi Awang bukan bersifat “gerakan politik”.

Selain menggambarkan Mahathir tiada “locus standi” untuk menyingkirkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerana bukan Ahli Parlimen, Ibrahim berkata perjumpaan dua tokoh itu menjurus memberi “kesedaran kepada orang Melayu”.

Ibrahim merujuk kepada Proklamasi Orang Melayu yang dibawa Mahathir.

“Usaha nak jatuhkan kerajaan ni (kalau) Tun M sendiri masih Ahli Parlimen, ada parti…ini (sekarang) apa locus standinya?” katanya mengulas pertemuan Mahathir dan Hadi malam tadi.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, mendakwa pertemuan Mahathir dan Hadi itu sebagai “kesepakatan ahzab”, yang boleh menjatuhkan kerajaan.

“Pakatan ini bolehlah saya namakan ‘kesepakatan ahzab’ kerana kesepakatan untuk memporak-perandakan negara dengan menjatuhkan kerajaan yang sah,” katanya menurut laporan itu.

Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau tidak mengetahui ada gerakan menjatuhkan kerajaan.

“Saya tak tahu apa-apa apa (gerakan jatuhkan kerajaan), tetapi yang saya tahu baru-baru ini Annuar Musa (bekas pemimpin Umno) dan semalam Hadi datang jumpa Tun M hanya untuk beri sokongan kepada Proklamasi Orang Melayu yang Tun M usahakan. Itu saja,” katanya.

Proklamasi Orang Melayu digerakkan Mahathir secara dalam talian, selepas lokasi untuk mengadakan perhimpunan mengenainya dibatalkan sebanyak dua kali.

Pada 27 Mac lalu, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan, berkata kempen itu akan dilakukan secara berterusan agar sampai kepada semua orang Melayu yang cintakan negara.

Pada 19 Mac lalu, Mahathir menuduh kerajaan Anwar bersikap “diktator” selepas dua kali program itu dibatalkan.

Walaupun mengakui beliau tiada bukti siapa yang mengarahkan acara itu dibatalkan, namun Mahathir yakin Anwar adalah dalangnya.

Penganjur sebelum ini juga dilaporkan berkata, Proklamasi Orang Melayu bukan bersifat politik, sebaliknya hanya membincangkan isu berkaitan komuniti Melayu.

Ibrahim menambah, pertemuan antara Mahathir dan Hadi itu tertangguh dua kali sebelum ini, ekoran kesihatan Mahathir yang tidak mengizinkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan