Kerbau gergasi seberat hampir 1.5 tan harga RM6.5 juta

Sombat (kanan) membuat tawaran menjual kerbau gergasi dengan harga 50 juta baht. - Agensi
Sombat (kanan) membuat tawaran menjual kerbau gergasi dengan harga 50 juta baht. - Agensi

BANGKOK - Seorang petani Thailand membuat tawaran tidak masuk akal dengan menjual seekor kerbau gergasi peliharaannya dengan harga 50 juta baht (RM6.5 juta), lapor portal Thaiger.

Kerbau diberi nama Peth Lamkhong yang berusia tiga tahun lima bulan diternak di pusat penternakan Big Ice Farm di Phitsanulok mempunyai berat kira-kira 1.4 tan.

Berat itu ditimbang semasa ia menyertai Pertandingan Kerbau Gergasi Phitsanulok kali ke-6 pada Ahad lalu.

Pemilik Big Ice Farm dan juga Peth, Sombat Thamelae berkata, dia membeli kerbau gergasinya itu dengan harga 7 juta baht (RM924,000) dari sebuah ladang di wilayah Bueng Kan, di timur laut Thailand pada pertengahan 2022.

Malah pembeliannya dianggap berbaloi-baloi apabila dia pernah memenangi beberapa hadiah semasa pertandingan yang disertainya itu.

Katanya, kerbaunya itu kini berada di 'zaman kemasyhuran' dan tidak hairanlah dia juga menjual air mani Peth kepada penternak lain dengan harga jutaan baht.

Sombat menambah, dia sebenarnya tidak tergesa-gesa menjual kerbaunya itu kerana terdapat banyak rancangan untuk dilakukan selepas ini.

Namun, jika ada pembeli yang serius membelinya, dia serius menjual kerbau itu dengan harga 50 juta baht. - Agensi
-sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan