Perak calon Mujahid sebagai senator

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dicalonkan untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari Perak.

Nama pengerusi Pakatan Harapan Perak yang juga naib presiden Amanah itu dikemukakan Menteri Besar Saarani Mohamad dan disokong Adun Teja Ng Shy Ching.

Menurut Berita Harian, Speaker DUN Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata hanya satu nama calon sahaja diusulkan kepada setiausaha DUN Perak hingga tarikh akhir penamaan iaitu 15 Mei lalu.

Saarani ketika mencadangkan nama Mujahid, berkata pemilihan senator itu bagi menggantikan Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian pada 2 Nov lalu.

Difahamkan, Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Sementara itu, DUN Perak turut meluluskan Pindaan Perenggan (b) Fasal (1) Perkara 38 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan yang memutuskan agar gelaran Dato’ Maharaja Lela diwujudkan atau dihidupkan semula.

Saarani ketika membentangkan usul itu berkata gelaran itu akan mengambil kedudukan tertinggi dalam barisan pemegang gelaran Orang Besar Lapan negeri Perak dengan pemegang gelaran itu nanti akan digelar sebagai “Orang Kaya Kaya Maharaja Lela Tanjana Putra.”

Katanya, pindaan itu akan menyaksikan pemansuhan gelaran Orang Besar Lapan iaitu “Orang Kaya Kaya Setia Bijaya Diraja” yang seterusnya digantikan dengan gelaran “Orang Kaya Kaya Maharaja Lela Tanjana Putra.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan