Agensi
Sydney: Malang nasib pesakit berusia 85 tahun yang meninggal dunia akibat kecuaian jururawat bertugas yang memutuskan sambungan monitor jantungnya, untuk berhubung menggunakan FaceTime dengan keluarganya.
Mirror UK melaporkan, jururawat terbabit, Geraldine Lumbo Dizon bertugas syif malam di Hospital Swasta Nepean di Kingswood, Sydney, pada 29 Julai, dan mematikan bunyi monitor selepas menerima panggilan daripada keluarganya.
Tribunal Rayuan Sivil dan Pentadbiran New South Wales mendapati Dizon gagal memberi amaran kepada doktor mengenai degupan jantung yang tidak teratur sebelum kejadian.
Dalam prosiding perbicaraan, jururawat itu didapati bersalah atas salah laku.
Dizon juga didapati gagal memberi rawatan kepada pesakit lelaki itu, yang mengalami kegagalan buah pinggang dan jantung, semasa dia melayan panggilan berkenaan.
Selepas syifnya tamat, petugas perubatan berasa buntu dengan kesihatan pesakit terbabit yang merosot kerana Dizon gagal memasang semula monitor berkenaan.
"Pada 7.07 pagi, 30 Julai 2021, pemantau jantung menunjukkan Pesakit A mengalami bradikardia atau degupan jantung perlahan.
"Kakitangan jururawat dan perubatan tidak dapat mendengar penggera kerana pembesar suara penggera telemetri masih diputuskan," lapor tribunal dalam keputusan akhirnya.
Dalam pengakuannya, Dizon memberitahu bahawa dia bertindak mematikan bunyi itu bagi mengelak pesakit salah sangka ia adalah bunyi loceng.
Difahamkan, pesakit terbabit ditemukan meninggal di atas katilnya, kira-kira 10 minit kemudian.
Dizon sepatutnya kerap memeriksa pesakitnya tetapi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia hanya melakukannya sekali saja pemeriksaan dalam 10 jam.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan