Polis tahan lelaki hina institusi beraja di Twitter

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi beraja dan bersifat provokasi perkauman di akuan Twitter miliknya.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki warga tempatan yang juga pengendali akaun Twitter @haziqmahmur9 berusia 27 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di Seremban.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit berserta dua kad sim dalam serbuan itu.

“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 27 Mei nanti untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Noorsiah berkata kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga mendatangkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan