Mohd Rafi Mamat
bhnews@bh.com.my
Banduan, Aidil (bukan nama sebenar) menjalani hukuman 13 tahun penjara dan tiga sebatan kerana kesalahan merogol kekasih bawah umur.- Foto NSTP/Mohd Radi Mamat
KUANTAN: "Walaupun hanya tiga sebatan diterima pada 2014 rasa sakitnya seolah hingga kini masih terasa," kata banduan yang hanya dikenali sebagai Aidil, 42.
Kesalahan merogol gadis bawah umur pada 2012 mengakibatkan dia menerima hukuman penjara 13 tahun dan tiga sebatan.
Menurut Aidil, kesan parut hukuman rotan yang diterima kekal sehingga kini dan dipercayai akan terus kekal hingga akhir hayatnya.
"Saya terpaksa tidur meniarap hampir seminggu selepas hukuman sebat diterima, detik berkenaan amat memberi kesan dan rasa insaf. Keseronokan yang dirasai seketika, berakhir dengan derita sehingga kini, hanya Tuhan sahaja mengetahui perasaan saya ketika dijatuhkan hukuman," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Katanya, sukar untuk diterima apa yang berlaku namun takdir sudah tentukan, rasa menyesal dengan perbuatan yang dilakukan tidak berguna lagi - "terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan padah akibatnya."
Aidil berkata, hukuman yang diterima mengubah segalanya apabila dia bukan sahaja dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan malah turut kehilangan pekerjaan sebagai penjawat awam.
"Kejadian suka sama suka itu berlaku pada 2012 tetapi saya disabitkan kesalahan merogol kekasih sendiri bawah umur yang ketika itu berusia 18 tahun.
"Saya menjalani hukuman tiga sebatan pada 2014 di Penjara Kajang, Selangor kemudian dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh, Selangor dan Penjara Sungai Udang, Melaka.
"Kini saya berada di Penjara Penor dan akan bebas pada 2025. Kejadian 12 tahun lalu itu begitu sukar untuk diterima kerana ia meragut semua impian saya," katanya kini reda hukuman diterima.
Katanya, sebelum ini dia melihat banduan yang melakukan pelbagai kesalahan berada dalam penjara namun kali ini dia sendiri berada di sebalik tirai besi dalam tempoh masa yang panjang selain turut 'dihadiahkan' dengan tiga sebatan.
"Lapan tahun sebagai penjawat awam di Selangor kini tinggal kenangan, tanggungjawab menjaga keselamatan yang diamanahkan tidak dapat dilakukan dengan berkesan, sebaliknya saya sendiri melakukan kesalahan yang dianggap memalukan," katanya.
Menurutnya lagi, dia bersyukur apabila berpeluang mengikuti kelas agama selain latihan kemahiran yang disediakan pihak penjara.
"Saya tidak sabar untuk bebas dan memulakan kehidupan baharu. Saya ingin berada bersama keluarga yang banyak memberi sokongan sepanjang saya menjalani hukuman. Mereka datang melawat saya dan baru-baru ini berpeluang mengikuti program jalinan kasih sempena Aidilfitri anjuran Penjara Penor.
"Saya ingin menasihatkan kepada remaja supaya tidak terlalu bebas dalam pergaulan terutama dengan kekasih, akibatnya buruk apabila boleh mengundang kepada perbuatan maksiat. Jadikan agama sebagai panduan hidup," kata anak keempat daripada enam beradik itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan