Wanita Australia dipukul dan disamun setelah dipelawa hantar pulang

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Wanita warga Australia tidak menyangka pelawaan seorang lelaki yang mahu menghantarnya pulang bertukar tragedi apabila dia dipukul dan disamun di suatu kawasan sunyi.

Mangsa berusia 40 tahun itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri selepas membuka pintu kereta dan terjun ketika kenderaan bergerak di kawasan Kampung Sungai Tua, dekat sini.

Dalam kejadian 3.30 pagi, 21 Mei lalu mangsa sedang berjalan di Petaling Street, Kuala Lumpur sebelum didatangi suspek yang menawarkan diri untuk menghantarnya pulang.

Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian menerima ajakan itu dan sebaik masuk ke dalam kereta, dia mendapati terdapat dua penumpang wanita.

"Suspek kemudian membawa mangsa sehingga ke kawasan Bukit Ampang dan berhenti di tempat sunyi, sebelum mereka bertiga menyamunnya.

"Mangsa bergelut dengan suspek dan ditumbuk beberapa kali sebelum mereka beredar dari situ, namun mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas melompat keluar dari kenderaan itu," katanya.

Sumber berkata, akibat kejadian itu, mangsa menerima rawatan di Hospital Ampang dan tampil membuat laporan polis.

Susulan kejadian, polis dilapor menahan seorang lelaki dan dua wanita dalam serbuan berasingan, semalam dan merampas kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua suspek.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan