AI dan kita

Mohsin Abdullah

Pada Oktober 2022 terbit satu podcast memaparkan temubual dengan Steve Jobs, pengasas Apple. Mungkin anda bertanya apa yang luar biasanya temuramah itu? Bukankah Jobs ditemuramah ratusan kali? Benar, cuma temuramah yang saya maksudkan ini dijalankan 11 tahun setelah Jobs meninggal dunia.

Ia dilaksanakan dengan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI). Temuramah 20 minit itu disifatkan sebagai “shockingly convincing”. Menakjubkan. Amat meyakinkan. Begitu hebatnya AI sehingga orang mati pun boleh diajak berbual, begitulah gambarannya.

Kalau orang yang tiada pun boleh diwawancara apa lagi orang sakit. Tahun ini akhbar tabloid Jerman, Die Aktuelle dengan megah mengumumkan edisinya pada 15 April menyiarkan apa yang dikatakan ‘temuramah pertama’ dengan juara Formula One, Michael Schumacher. Temuramah itu disifatkan the first interview kerana Schumacher tidak kelihatan di khalayak sejak kemalangan serius ketika bermain ski pada 2013. Oleh itu apa yang mahu dinyatakan akhbar itu ialah Schumacher muncul buat kali pertama sejak dilanda kemalangan.

Adakah akhbar itu berjaya menemubual beliau 10 tahun selepas kemalangan itu? Tidak. Temubual dilaksanakan dengan menggunakan AI. ‘Jawaban’ Schemacker terhadap soalan yang diajukan datangnya menerusi kaedah atau aplikasi “chatbot” yang dilatih untuk meniru pemandu F1 itu.

Sebenarnya pencapaian seperti ini bukan baharu. Pada Julai 1994 filem Forrest Gump diterbitkan dan watak utama dipegang Tom Hanks sebagai Gump. Filem itu seperti ramai tahu menayangkan beberapa babak Gump berinteraksi dengan personaliti terkenal yang sudah meninggal dunia, antaranya John F Kennedy, Lyndon B Johnson, Elvis Presley, dan John Lennon. Dengan menggunakan visual special effects dan teknik CGI yang membolehkan Hanks dicantumkan dengan bahan arkib, personaliti yang disebut tadi nampak berlakon bersama Hanks. Jika itu boleh dilaksanakan menggunakan teknologi 1994 bayangkan apa yang boleh dilakukan AI zaman ini. AI masih berkembang. Iya mengagumkan dan menakutkan.

AI boleh digunakan untuk kebaikan atau manfaat buat manusia. Ia boleh juga membawa kemusnahan kepada manusia. Menulis untuk portal berita MalaysiaNow, wartawan veteran Zin Mahmud memberitahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau PBB mempunyai pusat bagi AI dan robotik yang memantau perkembangan AI, dan antaranya mahu memastikan AI tidak mengatasi kecerdasan manusia. Amat membimbangkan jika kepintaran AI yang berkembang pesat akan atau boleh mengatasi kepintaran manusia, lantas melahirkan apa yang dipanggil kecerdasan umum buatan atau Artificial General Intelligence (AGI) yang mampu rasa, berfikir, dan bertindak seperti manusia.

Dengan kepintaran hebat, AI atau AGI akan mengatasi dan mengambil alih peranan manusia. Kita biasa menonton fliem sains fiksyen dimana robot atau komputer menguasai dunia, mengancam kemanusiaan malah melenyapkan manusia. Semasa menonton filem seperti Terminator, Matrix, Robot, 2001: A Space Odyssey umpamanya, saya sekadar senyum dan terhibur akan dongeng yang disajikan. Nama pun science fiction. Namun sekarang saya tidak lagi tersenyum. Dongeng seakan boleh jadi realiti.

Sekarang pun di negara kita sudah ada robot menggantikan manusia sebagai pelayan di kedai makan. Polis juga diberitakan akan menggunakan robot untuk meronda kawasan dalam usaha menjaga keselamatan. But don’t worry. Robots are not about take over anytime soon. Semua under control. Setakat ini?

Namun satu rencana yang ditulis Erin Hale untuk Al Jazeera mengutarakan persoalan adakah mungkin AI seterusnya melancar rampasan kuasa jika tidak dihalang daripada sekarang? Menurut Hale, kumpulan pakar bimbang AI akan disalahkan guna untuk menggugat kestabilan kerajaan di merata dunia dan mengancam ekonomi.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mencadangkan penubuhan badan antarabangsa untuk memantau perkembangan AI. Beliau memberi amaran AI akan digunakan untuk penyebaran kebencian dan maklumat palsu. Ini membuat saya mengimbau artikel saya siaran FMT 25 Jun lalu mengenai fitnah dan fake news bertajuk “Mudahnya fitnah ditelan”.

Amaran Guterres semangnya mesti diberi perhatian. Dalam konteks Malaysia apa yang dibimbangi beliau sudah lama berlaku tetapi kemungkinan besar menggunakan “kaedah lama”. Lalu saya tidak dapat elak bertanya sekarang sudahkah AI digunakan untuk mencipta berita palsu dan menyebarkan kebencian? Atau akan digunakan? Pada waktu mendatang atau terdekat? Kesempatan paling afdal dalam waktu paling dekat menurut saya ialah apabila pilihan raya diadakan di enam negeri tidak lama lagi.

Jika anda kata kita tidak ada kemampuan menggunakan (atau menyalah guna?) AI, saya kata jangan pandang enteng akan kebolehan dan kemampuan orang kita. Kita ada orang yang boleh manfaatkan AI untuk kepentingan sendiri atau pihak tertentu. Jika orang kita tidak boleh berbuat demikian dengan sendiri, ada orang kita yang mampu mengupah orang lain untuk membuat kerja itu.

Jika itu terjadi apa yang dicipta kelak akan membuatkan kita si orang biasa bingung. Tidak akan tahu mana yang real mana yang tidak. Semua nampak real. Amat menakutkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan