‘Bahaya’ biar BN tanding di kubu kuat Negeri Sembilan, PH diberitahu

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mengambil risiko besar jika membenarkan Barisan Nasional (BN) bertanding di kubu kuatnya di kawasan bandar Negeri Sembilan, menurut penganalisis politik.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, kekuatan kerjasama antara PH dan BN belum benar-benar diuji di peti undi.

Katanya, adalah satu risiko untuk mengandaikan pengundi PH akan memilih calon BN, dan begitu juga sebaliknya, seterusnya ini mampu membawa kepada kehilangan sokongan dan kerusi.

“Jalan paling selamat adalah kedua-dua gabungan bertanding di kubu kuat masing-masing berdasarkan keputusan pilihan raya sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias supaya komposisi calon perwakilan di kawasan bandar menggambarkan kerjasama antara BN dan PH.

Kerusi bandar lazimnya didominasi Pakatan Harapan, khususnya DAP dan PKR, sejak pilihan raya umum 2008.

Mazlan berkata, PH dan BN wajar menggunakan PRN akan datang sebagai medan ujian bagi menganggarkan respons orang ramai terhadap kerjasama dua gabungan itu, sebelum PRU akan datang.

“Jika mereka melihat penyokong PH mengundi calon BN, dan begitu juga sebaliknya, maka pada PRU16 mereka boleh bertukar kubu kuat. Buat masa ini keadaan terlalu berisiko.”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, akar umbi Umno akan melihat PH dengan lebih positif jika ia sedia melepaskan beberapa kerusi di Negeri Sembilan kepada BN.

“Saya fikir PH perlu menilai semula kekuatan Umno di Negeri Sembilan,” katanya kepada FMT, dengan menambah Umno mempunyai kedudukan kukuh di negeri itu.

Dalam PRU lalu, Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang gagal ditembusi Perikatan Nasional.

Azmi berkata, PH akan memperbaiki kedudukannya dalam kalangan akar umbi Umno, yang masih ragu-ragu terhadap kerjasama dengan PH, khususnya DAP.

Hubungan antara dua gabungan itu mampu mendapat manfaat daripada pengorbanan PH untuk BN, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan