Berita Hamzah bakal disingkir bertiup kencang, hubungan dengan Muhyiddin bermasalah?

Syazwani Malaysiadateline

Desas-desus mengenai perselisihan pendapat antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin semakin kuat diperkata.

Ini adalah disebabkan laporan yang mencadangkan bahawa Perikatan Nasional (PN) akan menggantikan Hamzah dengan individu lain sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Menurut Malaysian Gazette, Muhyiddin sedang mempertimbangkan antara Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Ketereh Khlir Nor sebagai pengganti Hamzah.

Konflik ini menurut pemimpin Bersatu yang enggan nama disiarkan, adalah berpunca dari perselisihan pendapat berkait hal PN dan Bersatu beroperasi lapor FreeMalaysiaToday (FMT).

“Pada peringkat kepimpinan dan akar umbi, ikatan Pas dan Bersatu kukuh. Tetapi ada yang tidak selesa dengan pendekatan ‘Gelombang Hjau’.

“Di sinilah Muhyiddin dan Hamzah berselisih pendapat,” ujar sumber seperti dipetik FMT.

Tambah sumber, kebanyakan pemimpin parti bersetuju bahawa Bersatu perlu memperkukuh jentera partinya kerana ia sedang diatasi oleh parti Islam itu.

Bersatu bagaimanapun tidak boleh menyalahkan Pas kerana parti Islam itu menguruskan dirinya dengan baik.

“Kami (Bersatu) juga tidak boleh dipersalahkan kerana parti ini baru berusia tujuh tahun, sedangkan Pas sudah lebih 60 tahun,” kata sumber.

Disebabkan satu peruntukan dalam perlembagaannya, tiada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) boleh menggantikan Muhyiddin selepas pemilihan parti akan datang.

Sumber itu berkata, perlembagaan parti memperuntukkan bahawa mereka yang ingin bertanding jawatan presiden parti, timbalan presiden atau naib presiden mesti menganggotai MPT sekurang-kurangnya dua penggal penuh.

“Jadi, tidak timbul isu siapa antara Hamzah atau Azmin harus memimpin, kerana ini akan memerlukan perlembagaan parti dipinda,” katanya.

Sementara satu lagi sumber dari Bersatu mendakwa perselisihan antara Muhyiddin dan Hamzah berpunca daripada peranan Azmin dalam parti.

Azmin, yang sedang dipersiapkan untuk menjadi “poster boy” akan datang untuk parti, terlibat dalam beberapa perbincangan peringkat tinggi yang tidak melibatkan Hamzah.

“Semua keputusan nampaknya dibuat oleh penasihat Muhyiddin, dakwa sumber itu. Kelihatan seolah-olah ada parti dalam parti”, tambahnya.

‘Orang presiden’ ini, menurut sumber itu, sudah ada sejak Bersatu ditubuhkan, dan sangat rapat dengan Muhyiddin sehingga tidak dapat diketepikan oleh beliau.

“Barisan kepimpinan baharu Bersatu, yang mungkin diketuai oleh Hamzah, harus mengambil alih untuk mengekalkan kehadiran politik yang kukuh.

“Bagaimanapun, Muhyiddin mahukan Azmin,” kata sumber itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan