BERSATU tanding 8, PAS tanding 37 kerusi di Kelantan

Hidayatidayu Razali
bhnews@nstp.com.my

KOTA BHARU: Pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan menyaksikan PAS akan bertanding di 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BERSATU lapan kerusi.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, berkata pada asasnya pembahagian kerusi untuk PRN sudah selesai.

"Secara asasnya, pembahagian kerusi selesai awal lagi iaitu 37 untuk PAS dan selebihnya adalah BERSATU, di mana kerusi yang dimenangi oleh UMNO.

"Kita minta DUN atau cawangan mengemukakan calon mereka yang diyakini siapa terbaik dan menjadi pilihan rakyat," katanya pada sidang media Mr Awang Selamat Kelantan 2023 di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, berkata calon yang dipilih oleh PAS adalah mengikut pilihan Ahli Majlis Syura Ulama yang akan membuat tapisan dan calon yang dipilih akur dengan pilihan itu.

Ketika ditanya sama ada calon yang mahu menarik diri termasuk di kerusi panas, Wan Roslan berkata, ada calon yang mahu menarik diri termasuk beliau dan juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

"Ikutkan semua calon PAS mahu undur (tarik diri), saya pun nak undur, namun ini adalah pilihan parti dan kita perlu akur.

"Itulah kelebihan PAS kerana calonnya ditentukan dan ditaklifkan (diberi amanah) oleh parti. Ini untuk kita bawa mesej yang baik dan mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat. Itu konsep PAS sebab itu tidak ada yang (calon) 'berona' (buat onar)," katanya.

Wan Roslan berkata, bagi pembubaran DUN, akan diumumkan selepas Menteri Besar selesai urusan dengan pihak istana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan