Label musuh Allah: PH lapor polis terhadap Zainul Asri

Malaysiakini 

Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap pendakwah bebas Zainul Asri Mohd Romli kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan apabila menyamakan musuh politik dengan ‘musuh Allah’.

Ketua Biro Mobilisasi Pusat Media PH, Mohamad Yahya membuat laporan berkenaan di Balai Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada jam 10.49 pagi, hari ini.

Menurutnya, ucapan itu dibuat Zainul dalam program Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 24 Jun lalu.

Rakaman program itu juga katanya boleh ditonton menerusi Youtube.

"Melihat kepada perkataan yang diungkapkan, jelas beliau mengaitkan ucapannya dengan pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Dengan menyamakan musuh politik dengan musuh Allah, bermaksud musuh politik juga boleh diperangi seperti mana beberapa insiden yang pernah berlaku sebelum ini.

"Ungkapan sebegini adalah satu bentuk hasutan dan jelas boleh menimbulkan salah faham di kalangan rakyat dan berbahaya kepada kestabilan dan keselamatan negara serta mengugat ketenteraman awam.

"Perkataan musuh Allah sering kali digunakan oleh kumpulan-kumpulan pengganas dan ekstremis bagi tujuan menghasut pengikut mereka untuk bertindak di luar batasan undang-undang. Perkara ini wajib dihentikan segera," katanya.

Semakan Malaysiakini mendapati video yang memaparkan ucapan Zainul Asri itu tular di media sosial.

Dalam rakaman berkenaan, Zainul menyeru agar umat Islam memperbanyakkan solat hajat sebelum pembubaran dewan undangan negeri (DUN).

Dia juga menyatakan semoga Kedah dilindungi daripada musuh Allah.

"Moga-moga Allah mempertahankan negeri ini daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh Allah dan dimenangkan agama Allah, insya-Allah," katanya disusuli tiga kali laungan takbir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan