Mahathir putar cerita bukan Melayu mahu tukar nama Malaysia

Malaysiakini 

Dalam sidang media yang agak panjang hari ini berhubung penduduk bukan Melayu, Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa mereka mahu "menukar nama dan pemilikan" Malaysia.

Bekas perdana menteri itu berulang kali mendakwa terdapat percubaan "dari negara lain" untuk mengubah  Malaysia daripada tanah Melayu menjadi negara berbilang kaum.

Dia juga mendakwa golongan ini enggan mengiktiraf orang Melayu sebagai pengasas, penduduk tempatan dan pembangun negara.

“Dan demikianlah angkuhnya mereka yang datang sini, kita yang jadikan mereka warganegara, tetapi warganegara yang datang ini nak tuntut supaya nama negara kita ditukar, dijadikan multiracial country (negara berbilang kaum).

“Banyak orang berhijrah daripada satu negara ke negara yang lain. Apabila mereka pergi ke negara yang lain, mereka terima negara yang lain itu dan pemiliknya dan mereka meniru hidup seperti orang di negara yang mereka pilih. 

“Tetapi kali ini kita dapati orang yang datang sini, datang ke tanah Melayu, kita sebagai tuan rumah, kita beri hak kepada mereka, kita sekarang ini disuruh tukar nama negara kita,” kata ahli politik veteran itu pada sidang media di Sepang.

Terdahulu, Mahathir membidas sejarah Malaysia dan mendakwa terdapat dua percubaan yang dibuat oleh "orang luar" untuk mengubah negara.

Dia menghuraikan secara panjang lebar mengenai latar belakang sejarah Malaysia, dengan tumpuan ketika zaman yang dikenali sebagai Malayan Union semasa pemerintahan penjajah British.

Dia kemudian menyentuh tentang era pasca kemerdekaan, semasa mendiang Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, yang adalah ketua pembangkang ketika itu menentang kerajaan Malaysia, dengan menganjurkan konsep 'Malaysian Malaysia'.

Pada pertengahan 1960-an, istilah ‘Malaysian Malaysia’ diangkat sebagai slogan perhimpunan Konvensyen Solidariti Malaysia untuk memperjuangkan wawasan negara yang lebih egalitarian, mengatasi perpecahan etnik dan mempromosikan hak sama rata untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum atau etnik.

Ia bertujuan untuk mencabar penekanan yang lazim terhadap etnik Melayu dan keistimewaan khas untuk orang Melayu, seperti yang termaktub dalam dasar tindakan afirmatif Perlembagaan Persekutuan.

“Kita bernasib baik dalam pilihan raya tahun 1964 cadangan Kuan Yew itu ditolak, cuma seorang saja  yang menang, yang lain semua kalah. 

“Dan itu kita berjaya tolak satu lagi percubaan untuk menjadikan tanah Melayu ini sebagai negara berbilang kaum, bukan lagi milik orang Melayu. Akan ada hak sama rata (untuk semua rakyat),” katanya. 

Mahathir juga mendakwa setiap kali orang Melayu bercakap tentang perjuangan bangsa, mereka terus dihentikan dan dilabel sebagai rasis.

“Saya hairan, di negara kita, kita tak boleh bercakap berkenaan tentang bangsa kita.

"Oh itu rasis. Orang Melayu rasis kalau cakap pasal Melayu,” katanya.

Sebelum ini, bekas ahli parlimen Langkawi itu disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang disifatkan memudaratkan demokrasi berparlimen, berhubung perkara berkaitan Proklamasi Rakyat Melayu yang diterajuinya itu.

Selain itu, dia juga disiasat berhubung kenyataannya, yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja, apabila menyebut bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada raja-raja Melayu untuk melindungi mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan