PAS samakan pemilikan tanah Melayu PP dengan kes Palestin-Israel

Malaysiakini 

PAS terus memainkan isu agama dan kaum, kali ini dengan menyamakan isu pemilikan tanah di Pulau Pinang dengan keadaan di Palestin serta Israel.

Mengetengahkan isu itu di media sosial, PAS membangkitkan bagaimana Israel menguasai tanah Palestin dari 1.5 peratus pada 1918 sehinggalah rakyat Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.

Artikel di media sosial PAS itu mendakwa kajian pada 2010 mendapati pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 27 peratus.

Parti itu mendakwa Pulau Pinang membuat “rampasan bersistem” dalam mengambil alih pemilikan dan menguasai kawasan yang asalnya majoriti Melayu-Islam.

Perkara itu, dakwa mereka, dibuat dengan menukar status tanah luar bandar kepada bandar, serta membuat projek mega dan pembangunan mewah.

PAS bagaimanapun tidak mengemukakan bukti terhadap dakwaan tersebut.

“Jika perkara ini tidak dihalang, tidak mustahil 50 tahun akan datang lenyaplah orang Melayu di tanah air mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, kempen PAS itu mengejutkan anggota parlimen kerajaan yang menganggapnya sebagai “naratif politik sempit”.

“Amat mengejutkan PAS merendahkan keabsahan perjuangan rakyat Palestin untuk menyesuaikan dengan naratif politik sempit mereka,” kata anggota parlimen Bangi Syahredzan Johan di media sosialnya.

Pada 2016, Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM) Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata berikutan pembangunan pesat yang berlaku di Pulau Pinang, tanah milik orang Melayu berkurangan dari tahun ke tahun.

Katanya, kajian USM pada 2008 mendapati keseluruhan tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 20.41 peratus dan ia dipercayai semakin mengecil apabila orang Melayu sendiri menjualnya kepada bangsa lain.

"Ini merupakan manifestasi hasil daripada paradigma yang digunakan oleh negara sejak 1957 iaitu untuk menjadi negara pembangunan. Ini disebabkan proses penjajahan yang lama yang telah berlaku.

"Dalam usaha itu, kita terlupa untuk mencari keseimbangan dan itulah yang berlaku sekarang iaitu pembangunan yang tidak seimbang yang akhirnya merugikan masyarakat sendiri," dia dipetik sebagai berkata.

PAS sebelum ini membangkitkan beberapa isu berkaitan agama dan kaum seperti menuduh DAP sebagai komunis, selain mendakwa orang bukan Melayu paling banyak memberi rasuah.

Polis Diraja Malaysia pada April lalu menubuhkan pasukan khas siasatan membabitkan isu 3R (bangsa, agama dan raja).

PAS kini menjalankan kempen “Kalih Pulau Pinang” dalam rangka mereka menyerang kubu kuat DAP itu dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

DAP menguasai Pulau Pinang sejak 2008 ketika parti itu bersama gabungan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR dan PAS ketika itu, sekali gus mengetepikan penguasaan lama Gerakan dan BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan