Pegawai kanan DBKL didakwa goda isteri orang lakukan persetubuhan

NORLIZAH ABAS
KHAIRUL Anuar Mhd Juri (kiri) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan memujuk seorang wanita yang sudah bersuami melakukan persetubuhan haram. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memujuk seorang wanita yang sudah bersuami melakukan persetubuhan, tahun lalu.

Pengarah Eksekutif (Pengurusan) DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri, 49, didakwa memujuk wanita berusia 37 tahun itu melakukan persetubuhan dengannya dan pujukan itu didakwa dilakukan di bangunan tersebut di sini di antara 8 malam, 14 Jun 2022 dan 11.57 pagi 14 November 2022.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa memujuk wanita yang merupakan isteri kepada seorang lelaki berusia 47 tahun dengan niat agar wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.

Tertuduh yang kini digantung tugas didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin membenarkan Khairul Anuar diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan kes.

Mahkamah turut melarang tertuduh mengganggu saksi-saksi sehingga perbicaraan selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Diana Saad mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi sehingga kes selesai.

Peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM2,000 dengan alasan anak guamnya telah digantung kerja dan hanya memperoleh separuh gaji.

Jelas beliau, anak guamnya yang mempunyai empat orang anak hanya mampu membayar RM2,000. Dua anaknya masih menuntut di kolej dan dua lagi masih bersekolah.

Sementara itu, peguam pemerhati Nor Azri Mohd. Arif yang mewakili mangsa memohon agar identiti mangsa tidak didedahkan oleh pihak media kerana perkara ini sensitif.

Majistret Nurul Izzah bagaimanapun berkata pihak media mengambil maklum berhubung perkara tersebut.

“Saya percaya media tahu. Kalau dilaporkan juga boleh dikenakan tindakan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan