Polis: Penunggang lawan arus tak ditahan kerana parah

FMT Reporters
Motosikal jenis Yamaha milik suspek yang melawan arus dirampas polis untuk siasatan lanjut. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Polis sudah mengambil keterangan enam individu, termasuk penunggang motosikal lawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di KM22.2 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Rabu lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Azam Ismail, berkata suspek adalah peniaga makanan berusia 41 tahun yang tinggal di Kajang.

Katanya, suspek dikenal pasti selepas membuat laporan berhubung kemalangan itu di Balai Polis Trafik Kajang semalam, tetapi tidak ditahan kerana cedera parah dan sukar bergerak, dengan prosedur lanjut akan diambil selepas keadaannya stabil.

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang, tetapi tersesat dan buat keputusan memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya menyebabkan bahu kanan dan jari kelingkingnya patah, luka di bahu kiri serta kaki kanan.

Katanya, selepas kemalangan lelaki itu terus pulang ke rumah dan hanya tahu mengenai kes tersebut selepas menonton berita di televisyen serta hebahan di media sosial.

“Sebuah motosikal jenis Yamaha dirampas bersama beberapa barang kes lain. Kedua-dua motosikal terlibat akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.”

Rabu lalu, motosikal Ducati ditunggang Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62, hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan ketika cuba mengelak sebuah motosikal melawan arus. Fadzil tercampak dan terjatuh dari jejambat lebuh raya.

Susulan itu, FMT melaporkan anak mangsa, Hafidz Ahmad Fadzil menuntut suspek memohon maaf kepada ahli keluarganya dan menjelaskan kenapa dia melarikan diri dari tempat kejadian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan