Syed Saddiq dakwa Muda disisihkan oleh Anwar, PH

Malaysiakini 

Muda menyangkal dakwaan veteran DAP Lim Kit Siang bahawa ia membuat keputusan tergesa-gesa dan sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution telah mengabaikan tiga surat berkenaan permintaan parti itu untuk "mesyuarat ringkas".

“Namun, bukan sahaja kami dibiarkan tergantung, malah diperlekehkan apabila Setiausaha Agung Pakatan Harapan menjawab bahawa dia tiada masa untuk membaca surat kami.

"Ini di sebalik hakikatnya pejabatnya pada mulanya bersetuju untuk berjumpa tetapi kemudian membatalkannya sekali lagi pada saat-saat akhir," kata Syed Saddiq.

Kaatnya, dia juga telah cuba menghubungi Anwar dan pegawainya beberapa kali tetapi tidak berjaya.

"Kami bukan meminta jawatan GLC yang lumayan seperti kebanyakan yang lain dalam kerajaan hari ini. Kami bukan  meminta kontrak.

"Kami hanya mahukan satu mesyuarat supaya kami boleh mencadangkan jalan bergerak ke hadapan untuk membina Malaysia yang benar-benar berbilang kaum, agama, sederhana dan berpaksikan reformasi.

"Kamu mahu pembaharuan, Tan Sri? Muda juga mahukannya," kata Syed Saddiq.

Lim Kit Siang dikurniakan pingat Tan Sri, baru-baru ini

Semalam, Lim berkata Muda tidak patut terlalu tergesa-gesa dan seharusnya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar dalam enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos nanti bagi memastikan usaha reformasi dapat diteruskan.

Kenyataan Lim itu susulan pengumuman Syed Saddiq bahawa partinya akan bertanding pada PRN yang sekali gus bermaksud Muda akan bertembung PH dan BN.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata kerajaan Anwar tidak mempamerkan pembaharuan, justeru Muda terpaksa berperanan lebih besar dalam semak dan seimbang.

Katanya, kepincangan masih belum ditangani dengan jawatan GLC masih digunakan sebagai ganjaran politik dan tiada peruntukan yang adil untuk semua ahli Parlimen. 

Menurut Syed Saddiq kerajaan masih belum menetapkan had penggal untuk perdana menteri dan tiada pemisahan portfolio perdana menteri dan menteri kewangan.

Monopoli dan konsesi utama, katanya, berterusan  manakala undang-undang yang menindas masih dikekalkan.

“Senarai janji-janji palsu tidak berkesudahan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan