Baharom Bakar
bhnews@bh.com.my
KUALA TERENGGANU: Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) antara lima calon Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang dijangka disenaraikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
BH difahamkan bekas ADUN berkenaan adalah Khazan Che Mat (Batu Rakit) dan Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang).
Khazan yang juga bekas EXCO kerajaan negeri dijangka bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap manakala Mohd Zawawi disebut-sebut bertanding di DUN Telemong.
Dalam pada itu, Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris dijangka bertanding di DUN Kijal.
Bekas Ahli Parlimen BN Besut, Mohd Yusop Majid pula dijangka bertanding di DUN Permaisuri manakala Ketua BERSATU Besut, Mohd Husaimi Hussin atau timbalannya, Datuk Wan Mohd Ariff Rashiddin Wan Jusoh, disebut-sebut dicalonkan di DUN Kuala Besut.
Difahamkan, BERSATU negeri yang juga parti gabungan Perikatan Nasional (PN) diberikan lima kerusi oleh PAS untuk bertanding pada PRN 12 Ogos ini.
Lima kerusi berkenaan sebelum ini dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata senarai penuh calon yang mewakili parti dan DUN yang akan ditandingi dijangka diumumkan selewat-lewatnya Khamis ini.
Katanya, setakat ini hanya lima kerusi DUN dilepaskan PAS kepada BERSATU tetapi perbincangan lanjut diperingkat Majlis Presiden masih berjalan.
"Kita cuba minta satu lagi tambahan kerusi menjadikan enam untuk BERSATU, tetapi ianya masih dalam perbincangan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengenai spekulasi calon, Razali yang juga Ketua Bahagian BERSATU Marang bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Namun, katanya, semua calon sudah bersedia untuk membantu menyumbangkan kerusi kepada PAS bagi meneruskan kepimpinan negeri.
"Spekulasi calon daripada BERSATU timbul selepas beberapa pemimpin termasuk individu kerap menghadiri ceramah dan mengadakan pelbagai aktiviti di DUN berkenaan.
"Kita tidak berseorangan jika betul spekulasi akan dicalonkan di lima DUN yang dianggap kubu kuat BN. Kita akan dibantu dengan seluruh jentera PAS," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan