Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Enam anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Perak ditahan ketika sedang berkaraoke di sebuah premis di Setiawan, Sabtu lalu.
Sumber berkata, mereka ditahan ketika serbuan dijalankan pada 11.30 malam dan sebelum ditemukan kesemua anggota berkenaan dan seorang wanita warga Indonesia berada di premis berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada anggota terbabit positif alkohol dan pemeriksaan lanjut di tandas bilik karaoke berkenaan ditemukan sepaket serbuk putih disyaki dadah jenis ketamine.
"Ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua mereka itu mendapati seorang anggota berkenaan positif dadah jenis ganja," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi mengesahkan berhubung penahanan anggota berkenaan.
"Operasi dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi mengesan pelanggaran dan salah laku yang dilakukan warga PDRM.
"Siasatan lanjut akan dijalankan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
"Siasatan dari sudut tatatertib juga akan dijalankan," katanya.
Menurutnya, terdapat keadaan yang membenarkan anggota berada di dalam premis berkenaan berdasarkan arahan dalaman.
"Bagaimanapun, siasatan akan dilaksanakan berikutan ada anggota berkenaan terkesan dalam ujian saringan air kencing," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan