FMT Reporters
PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Sesyen Muar sebak sehingga menitiskan air mata ketika mendengar fakta kes seorang bapa didakwa merogol anak kandungnya.
Menurut Berita Harian, Abu Bakar Manat, yang mempengerusikan prosiding dilihat dalam keadaan sedemikian apabila fakta kes dibaca bagi tiga tuduhan merogol pada Jun dan awal bulan ini melibatkan lelaki berusia 46 tahun itu.
Tertuduh mengaku bersalah dan dihukum penjara 72 tahun serta 30 sebatan dengan hukuman penjara diarah berjalan serentak.
“Sebagai ayah, kamu sepatutnya menjadi wira dalam keluarga melindungi anak-anak. Saya sedih mengapa perkara ini boleh berlaku,” kata Abu Bakar memetik laporan itu.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 14 tahun dengan kejadian pertama berlaku pada 22 Jun, pada 1.30 pagi.
Dia sekali lagi mengulangi perkara sama pada 26 Jun, pada 2 pagi dengan kejadian terakhir dilaporkan berlaku pada 3 Julai lalu, 4.30 pagi.
Semua ketiga-tiga kejadian berlaku di tempat sama iaitu sebuah rumah di Batu Pahat.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali bagi setiap pertuduhan.
Selepas mengambil kira pengakuan tertuduh, Abu Bakar kemudian menjatuhi hukuman penjara 24 tahun dan 10 sebatan masing-masing untuk pertuduhan pertama, kedua, dan ketiga.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak, tetapi bagi hukuman sebatan, perlu dijalankan secara berasingan.
Bagaimanapun, Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan 24 sebatan adalah jumlah maksimum dibenarkan mengikut kanun berkenaan.
Tertuduh juga diarahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditahan 8 Julai lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhi hukuman maksimum dengan mengambil kira perkembangan terkini kes rogol melibatkan bapa kandung selain mencerminkan kepentingan awam melebihi tertuduh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan