Bahri: 'Patut imigresen tangkap Tiong, halang tugas penjawat awam'

Hariz Mohd

Menteri Pelancongan Seni dan Kebudayaan Tiong King Sing sepatutnya ditahan kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas awamnya, menurut seorang pegawai antirasuah bersara.

Bahri Mohammad Zin, yang merupakan bekas pengarah bahagian operasi khas SPRM, berkata Tiong sepatutnya menimbulkan syak wasangka tentang dakwaan rasuah melibatkan pegawai Jabatan Imigresen dengan SPRM dan bukannya mengambil alih perkara itu sendiri.

"Jika saya jadi pegawai imigresen tu saya akan warning menteri tu dua kali agar jangan ganggu kerja saya.

"Jika kali ketiga dia masih tidak dengar, saya akan tangkap dia atas kesalahan mengganggu tugas penjawat awam," katanya.

Bahri mengulas laporan kejadian Tiong melawat pejabat Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 28 Jun itu untuk memeriksa aduan seorang warga China yang dinafikan masuk ke negara ini.

Tiong mendakwa dokumen pelawat itu teratur dan pelancong berkenaan menjadi mangsa rasuah, yang akan didedahkannya. Warga China itu akhirnya dibenarkan masuk berikutan campur tangan menteri.

Dakwaan itu telah mendapat perhatian daripada SPRM, yang berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu.

Bahri juga menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil tindakan terhadap Tiong, yang menurutnya telah menjadi liabiliti kepada kerajaan.

"Inisiatif perdana menteri pergi melawat kaunter imigresen boleh di angkat ibu jari.

"Tapi seelok-eloknya PM panggil menteri tu tanya dia, tang (di) mana pegawai imigresen itu langgar prosedur?

"Jika kamu nak bebaskan pelancong China tu kerana langgar SOP, apa jadi dengan pelancong negara lain sebelum ini yang kena balik kerana kesalahan serupa.

"Jika betul pegawai imigresen tu minta rasuah kenapa kamu tidak pergi senyap-senyap buat laporan SPRM dan bagi kerjasama supaya perasuah diperangkap," soalnya.

Bahri berkata perdana menteri juga perlu bertanya kepada Tiong jika dia telah memikirkan terlebih dahulu implikasi negatif kepada kerajaan sebelum mengambil tindakan itu.

"Perbuatan menteri tidak ada otak macam inilah memberi liabiliti berat kepada Kerajaan Madani.

"Anwar Ibrahim wajar ambil tindakan ke atas menteri tersebut supaya rakyat merasai yang Anwar tidak pilih bulu," katanya.

Bahri salah seorang pegawai kanan SPRM yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan siasatan terhadap Najib Razak ketika dia menjadi perdana menteri melibatkan kes rasuah SRC International.

Bahagian Operasi Khas SPRM yang diterajui Bahri, ditugaskan untuk menyiasat kes khas - yang melibatkan lebih RM1 juta dan kes sensitif yang melibatkan kepentingan awam.

Bahagian itu dikatakan telah menyiasat SRC, yang sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB, khususnya kes RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank Najib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan