Budak 9 tahun mati dicekik abang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik abang sulungnya berusia 14 tahun di Melaka.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari di Bukit Piatu itu, jiran mangsa dikenali sebagai Ain, 31, berkata, dia dihubungi ibu mangsa yang memaklumkan anak sulung daripada empat beradik itu sedang mencekik adiknya.

Menurut suri rumah itu, ibu mangsa menyedari insiden terbabit selepas melihatnya di telefon bimbit melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah sewa mereka.

Katanya, mangsa tidak ke sekolah kerana mengalami sakit mata dan tinggal bersama abangnya yang dipercayai mengalami masalah kesihatan sejak beberapa minggu lalu.

“Abangnya pula seperti tidak sedar apa yang sedang dilakukan dan masih mencekik adiknya hingga beberapa jiran lain datang membantu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Katanya, remaja lelaki itu baik dan sering bermain dengan anak-anak jiran, namun keadaan dikatakan berubah selepas pulang dari sekolah tahfiz tempatnya belajar.

Menurutnya, remaja itu didakwa pernah mengalami trauma seperti dirasuk baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit mengesahkan perkara itu dan kejadian sedang dalam siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjaga sensitiviti keluarga,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan