Dakwaan 2 wanita ‘kahwin’, pihak berkuasa agama P Pinang sedia ambil tindakan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Pulau Pinang akan mengambil tindakan sekiranya terbukti benar dakwaan berlaku majlis meraikan perkahwinan sejenis melibatkan dua wanita di Balik Pulau pada bulan lalu.

Yang Dipertuanya Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata siasatan akan dijalankan terlebih dulu mengulas tular beberapa keping gambar memaparkan warga tempatan dan luar negara bercumbu di sebuah premis inap desa persendirian.

Katanya, sekiranya perkara itu berlaku pihaknya akan mengambil tindakan mengikut undang-undang berikutan negara ini melarang aktiviti lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT).

“Kita akan dapatkan lebih banyak maklumat bagi menentukan kesahihan dakwaan gambar yang tular itu.

“Namun, jika ia benar berlaku tindakan akan diambil mengikut undang-undang yang diperuntukkan,” katanya menurut Berita Harian.

Menerusi hantaran tular itu, perkahwinan terbabit dikatakan berlangsung bulan lalu dihadiri ahli keluarga serta teman rapat kepada pasangan yang seorang daripadanya bekas wakil rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan