Guan Eng tanding di P Pinang, 5 exco gugur

Predeep Nambiar

(Dari kiri) P Ramasamy, Chong Eng, Phee Boon Poh, Soon Lip Chee, dan Yeoh Soon Hin merupakan exco dalam kerajaan sementara Pulau Pinang.
KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Lim Guan Eng akan bertanding pada PRN Pulau Pinang 12 Ogos, sebaliknya timbalan ketua menteri, P Ramasamy dan empat exco digugurkan.

Lim, bekas menteri kewangan, yang kini Ahli Parlimen Bagan juga merupakan Adun Air Putih sejak 208. Beliau akan bertanding mempertahankan kerusi itu bagi penggal keempat.

Pengguguran Ramasamy sebagai calon yang juga timbalan ketua DAP negeri dan exco paling mencuri tumpuan.

Ramasamy dipilih Adun Perai pada 2008 dan berkhidmat di kawasan itu selama dua penggal. Beliau digantikan S Sundarajoo, bekas ketua pegawai eksekutif Ecoworld Development Sdn Bhd.

Ketua Wanita DAP Chong Eng juga tidak tersenarai sebagai calon, dengan bekas Adun Pengkalan Kota Daniel Gooi bertanding di kerusi Padang Lalang dimenangi Chong sebelum ini.

Bekas Adun Sungai Puyu selama empat penggal, Phee Boon Poh tidak akan mempertahankan kerusi itu, namun digantikan anak perempuannya, Syn Tze.

Chong dan Phee merupakan exco dalam kerajaan sementara Pulau Pinang.

Dua lagi exco, Soon Lip Chee dan Yeoh Soon Hin, juga digugurkan bagi PRN negeri itu.

Kerusi dimenangi Soon di Bagan Jermal akan ditandingi muka baharu, Chee Yeeh Keen, manakala bekas Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai akan bertanding di Paya Terubong, kawasan di mana Yeoh menang selama tiga penggal.

Dalam pada itu, bekas pembantu Ramasamy, M Satees tidak akan mempertahankan kerusi Bagan Dalam selepas sepenggal sebaliknya digantikan K Kumaran.

Terdahulu, DAP telah mengumumkan Chow Kon Yeoh kembali dilantik ketua menteri sekiranya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menang PRN negeri itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan