Ronasina
Suatu ketika dahulu dekat-dekat hendak raya haji, seorang ketua persatuan penduduk di sebuah taman perumahan bertanya kepada saya, “Tuan! Boleh tak sponsor taman kami seekor lembu?” Ketika itu, lima belas tahun dahulu saya ahli majlis di sebuah daerah di Selangor. Saya terkedu untuk menjawab permintaan dia. Menjadi ahli majlis bermakna saya mempunyai zon yang saya perlu jaga di mana zon saya itu mempunyai dua puluh taman perumahan. Kalau semua minta saya taja seekor lembu, harus pitam saya. Silap-silap saya yang merangkak sambil memagut rumput.
“Bukankah ibadah korban itu bermakna kita mengeluarkan harta kita sendiri untuk dikorbankan ke jalan Allah?” tanya saya. “Sebab kalau saya sponsor itu sudah jadi kenduri makan-makan. Bukan korban lagi, kan?”
Saya berasa lega kerana pemimpin masyarakat tersebut tidak membantah dengan alasan saya sebaliknya hanya terkerenyin. Betul lah, kan? Itu yang saya faham selama ini mengenai ibadah korban. Masalahnya budaya beri lembu korban ini sudah diajar oleh ahli politik, sama ada wakil rakyat baik di peringkat negeri sehinggalah ke peringkat persekutuan. Saya musykil apakah ini dikira ibadah korban yang sebenar?
Maksud saya, bukanlah tidak boleh sponsor tapi apakah ia menepati erti hakikat ibadah korban itu sendiri? Adakah memang ibadah korban itu bermaksud sembelih lembu (atau binatang ternakan lain) dan agih-agihkan kemudian kita makan-makan? Jika begitu apa bezanya jika pemberian tersebut dibuat pada hari dan bulan lain?
Saya secara peribadi tidak selesa dengan taja-menaja binatang korban ini. Ia menyerupai agenda politik. Agenda politik biasanya ada kepentingan peribadi bersembunyi di belakangnya. Maka, ini sudah tidak tulus lagi. Ini merosakkan keikhlasan ibadah korban tersebut bagi saya. Bak kata P Ramlee dalam lagu Berkorban Apa Saja:
Kepentingan sendiri,
Tidak diingini,
Bahagia kekasih saja yang diharapi.
Bermakna tiada agenda peribadi terselit dalam ibadah korban ini melainkan semata-mata kerana Allah dengan mengikut syarat-syarat yang digariskan. Ia memang semata-mata mengorbankannya untuk kebahagiaan ‘kekasih’ seperti lagu P Ramlee itu. Itulah yang disurahkan di mimbar oleh khatib saat membaca khutbah setiap kali solat Aidiladha. Sudah setengah abad saya hidup dan selama itulah saban tahun saya mendengar khutbah yang memetik kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.
Nabi Ibrahim diperintahkan agar menyembelih ‘hartanya’ yang paling disayangi iaitu anaknya sendiri. Sudahlah lama menanti lahirnya seorang anak sehingga usia hampir sembilan puluh tahun, tiba-tiba tak pasal-pasal mendapat perintah oleh Allah agar menyembelih anak tersebut. Bayangkan!
Itulah yang dikatakan oleh P Ramlee tadi – kepentingan sendiri tidak diingini. Nabi Ibrahim tanpa ragu, patuh. Pengorbanan ini tidak hanya boleh kita lihat hanya pada Nabi Ibrahim sahaja. Bagaimana dengan anaknya, Nabi Ismail? Sanggup pula Nabi Ismail menadahkan lehernya demi sebuah perintah. Ngeri saya jika saya yang duduk di tempat Nabi Ismail, mahu cabut lari agaknya! Tapi, itulah yang cuba diperjelaskan lagi dalam rangkap seterusnya:
Untuk menjadi bukti,
Cinta yang sejati,
Itulah tandanya jika mahu diuji.
Aduh! Begitulah mendalamnya penghayatan sebuah pengorbanan. Bukan apabila menghadap lembu yang hendak disembelih, disakat-sakatnya lembu sehingga lembu jadi ketakutan. Pada sesetengah kejadian pula ada tukang sembelih dan tukang lapah awal-awal dah ‘chop’ bahagian mana mereka punya. Ada yang sudah ‘chop’ ekor lembu, ada yang sudah sorok ‘torpedo’ untuk dibawa pulang buat sup. Di mana letaknya roh korban itu jika begitu? Setahu saya, tukang sembelih tidak boleh ambil ‘bahagian daging korban’ tersebut. Itu yang saya faham. Anda boleh merujuk ahli agama dan para ulama kerana mereka sering memperingatkan akan hal ini.
Saya bukan ahli fuqaha. Saya hanya memetik ‘suis’ kerana acapkali kecewa dengan sikap-sikap manusia yang bercakap pasal agama dan ibadah, tapi pelaksanaannya saya lihat tempang. Betul atau tidak apa yang saya katakan itu, sila dalami dan rujuk dengan yang mahir tentangnya. Jangan nanti apa yang tak betul, dibuat terus-menerus lagi dan lagi.
“Apa jadi selepas Allah gantikan seekor korban setelah Allah melihat Ibrahim ternyata patuh dan Ismail juga redha untuk dikorbankan? Adakah hanya ‘celebrate’ makan-makan daging korban itu selepas menyembelihnya?” tanya saya kepada seorang ustaz.
Saya ingin tahu apa hikmah selepas itu untuk diimplikasikan ke dalam kehidupan kita pada zaman ini. Lima puluh tahun mendengar kisah tersebut di khutbah, ia hanya sampai di situ sahaja tiap-tiap tahun. Saya mahu masyarakat dibawa ke suatu takuk lagi penghayatan terhadap korban ini. Korban bukan hanya tentang sembelih, agihan, dan makan-makan. Mesti lebih daripada itu. Intipatinya, rohnya, hakikatnya itu yang kita mahu bukan setakat makan gulai rendang daging korban atau sup tulang sahaja.
“Pada bulan-bulan lain sanggupkah kita mengorbankan harta, wang, atau makanan kepada keluarga, sanak-saudara dan jiran tetangga kita? Memberi mereka dengan ikhlas semata-mata kerana Allah,” jawab ustaz yang saya tanya itu. Sebuah jawapan yang berbentuk soalan juga.
Nah! Itulah yang saya mahu dengar. Roh sebuah pengorbanan. Jiwa dan hakikat korban itulah yang harus dihayati. Bukan pesta kejar lembu atau temasya makan-makan apatah lagi agenda sponsor oleh para politikus. Ikhlas. Mukhlisina lahuddin!
Anak Nabi Adam mempersembahkan korbannya kepada Allah dengan binatang ternakannya yang sihat, segar, dan gemuk manakala seorang lagi pula mempersembahkan korbannya kepada Allah dengan hasil tanamannya yang kering, layu, dan rosak. Benar! Kedua-duanya buat korban juga. Itu upacara korban yang pertama dalam sejarah manusia. Seorang digambarkan ikhlas kerana itulah dia mempersembahkan korbannya yang baik-baik sedangkan seorang lagi sekadar melakukannya untuk buat syarat sahaja. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang mampu memberikan lembu atau haiwan ternakan yang baik-baik, sihat, dan gemuk tetapi nawaitunya pula bukan begitu?
Maaf, bukan saya hendak mempersoalkan tetapi itulah yang sudah digambarkan kepada kita zaman-berzaman. Kadang-kadang segenggam daging korban bisa membuat kita berasa tamak, kedekut, dan bakhil. Selepas berebut-rebut mendapatkan daging, tiga bulan selepas itu daging tersebut terus membeku di dalam peti sejuk kita masih tak berusik-usik. Apakah itu maknanya bahagian yang keras-kejung di dalam peti sejuk kita itu hak orang lain.
Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan