Shakira Buang
Menteri Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan keyakinannya Jelapang Padi Malaysia itu mampu menjadi negeri paling maju jika Kuala Lumpur berada berhampiran mereka.
Katanya, dengan itu juga hujah bahawa Selangor menjadi negeri termaju di negara ini kerajan ditadbir PH dapat disangkal.
Menurut pemimpin PAS itu lagi, Selangor hanyalah "bertuah" kerana kebetulan berada dekat dengan Kuala Lumpur.
“Selangor bertuah kerana KL berada dalam wilayah negeri Selangor. Di situlah pusat pembangunan, pusat perniagaan... segala pusat ada di Kuala Lumpur.
“Kalau Kuala Lumpur itu ada di Kedah saya yakin (kemajuan) Selangor akan berada jauh (di belakang) dari Kedah pada waktu ini, dan (kemajuan) Kedah yang ada Kuala Lumpur di dalamnya akan melonjak lebih jauh,” katanya dalam wawancara khas bersama Sanusi di Facebook malam tadi.
Mengulas lanjut, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata Selangor tidak boleh dijadikan model negeri PH paling berjaya kerana kebijaksanaan pimpinannya memerintah.
Sebaliknya, Sanusi berkata Selangor hanya menumpang tuah Kuala Lumpur.
Katanya banyak daerah dalam Selangor yang berada jauh dari bandar raya, tidak mendapat pembangunan yang pesat, malah ada yang "lebih teruk" dari negeri lain.
“Saya rasa Selangor bukan negeri yang boleh dijadikan model kebijaksanaan PH khususnya PKR. Mereka hanya menumpang tuah dari Kuala Lumpur,” katanya.
Ada perubahan besar
Untuk rekod Selangor mengekalkan prestasinya sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi Malaysia bagi 2022 iaitu 25.5 peratus, meningkat 0.7 berbanding 24.8 pada 2021.
Kedah pula merekodkan KDNK sebanyak 3.2 peratus pada 2021.
Menurut Sanusi meskipun jauh ketinggalan berbanding Selangor negeri-negeri pimpinan PN tetap akan membuktikan bahawa mereka mampu menarik pelaburan ke negeri masing-masing.
Keadaan itulah, dakwa Sanusi, menjadi ketakutan kepada kerajaan PH-BN.
Kerana itulah, katanya, kerajaan pusat mahu merampas negeri terbabit walau dengan apa cara sekalipun.
“Kalau tahun 2021 kita (Kedah) terima RM28.3 bilion, untuk 2022 RM13.4 bilion dan tahun ini untuk lima bulan yang pertama kita menerima RM5 bilion tidak mustahil kita boleh cecah belasan bilion ringgit pelaburan yang akan masuk ke Kedah.
“Kalau semua pelaburan ini telah menampakkan hasil dalam tempoh beberapa tahun ini Kedah akan melonjak sebagai kuasa besar di Utara,” katanya.
Sebab itulah, katanya, serangan bertali arus dibuat ke atas Kedah untuk merampas negeri berkenaan.
Dakwa Sanusi, Kedah seolah-olah menjadi dara pingitan yang diidamkan pihak lawan.
Sanusi juga turut mendakwa akan berlaku banyak lagi hal besar kepada negeri Jelapang Padi itu selepas PRN kelak namun dia tidak menjelaskan lebih lanjut hal itu.
"Saya akan pastikan ada satu perubahan besar kepada politik Malaysia berasaskan kepada pembetulan kepada sejarah yang telah dikecohkan,” katanya yang pernah membangkitkan isu pemilikan Pulau Pinang sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan