Menteri: Mahasiswa bebas kempen, tanding dalam PRN

Bernama

KUALA NERUS: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bukan ‘polis’ untuk memantau penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik sepanjang musim PRN di enam negeri dan PRK Parlimen Kuala Terengganu, kata menterinya Mohamed Khaled Nordin.

Katanya kementerian malah memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik, namun mereka diingatkan agar memahami limitasi tertentu yang perlu diberi perhatian.

“KPT bukan anggota polis. Kita beri mereka (mahasiswa) kebebasan dan tidak pernah mengongkong untuk terlibat dengan politik… tidak kisah mana-mana parti politik sekalipun, namun jangan bawa politik kepartian ke dalam kampus.

“Di luar sana, terpulang kepada mereka sama ada mahu bertanding atau berkempen sekalipun. Lagi pula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah banyak kali dipinda,” katanya kepada pemberita selepas melawat Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan kelewatan pembayaran Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) kepada mahasiswa sehingga melepasi semester, beliau berkata KPT akan melakukan semakan lanjut berhubung perkara itu.

“Secara asasnya semua penuntut OKU yang disahkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) layak mendapat bantuan. Isu lambat itu kita akan baiki, saya akan semak,” katanya.

Terdahulu, tular kenyataan oleh wakil mahasiswa OKU di institusi pendidikan mendakwa kelewatan KPT dalam menyalurkan BKOKU yang berbentuk bantuan wang saku dan yuran pengajian sehingga menjejaskan perbelanjaan mereka.

Mengenai lawatannya pula, Khaled berkata beliau menyokong penuh usaha UMT dalam menubuhkan ASEAN Fisheries Education Network iaitu rangkaian universiti dalam kalangan negara ASEAN yang terlibat dalam bidang perikanan.

Katanya penubuhan itu bukan sahaja membolehkan perkongsian penyelidikan dalam kalangan universiti, malah berpotensi untuk melakukan kolaborasi bersepadu dengan pihak luar selain daripada ASEAN khususnya dalam bidang perikanan dan kelautan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan